KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas maut setelah dihempap dinding konkrit rumah dalam kejadian di Kampung Padang Midin di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 9.28 pagi itu berlaku ketika mangsa, Zamri Jusoh, 60, sedang menebang pokok di kawasan rumah peninggalan milik keluarganya di kampung tersebut.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, pihaknya dengan kekuatan 11 anggota segera ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.
Katanya, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian pada pukul 9.35 pagi mendapati seorang lelaki dihempap dinding konkrit rumah ketika melakukan kerja-kerja menebang pokok.
“Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas ‘airlifting bag‘ bagi mengeluarkan mangsa daripada runtuhan dinding konkrit berkenaan.
“Operasi mengambil masa 17 minit dan mangsa dikeluarkan pada pukul 9.52 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










