PETALING JAYA : Seorang wanita warga emas yang ditemukan maut selepas lemas di Tasik Perdana, Taman Botani dekat sini hari ini dikatakan sempat meninggalkan nota pesanan buat anaknya.
Perkara itu dimaklumkan ahli keluarga mangsa ketika hadir di lokasi untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, mangsa dipercayai keluar rumah kira-kira pukul 6 pagi.
Bagaimanapun, kata beliau, pusat Kawalan Dang Wangi menerima panggilan telefon orang awam yang memaklumkan melihat mayat mangsa berusia 68 tahun itu di dalam tasik berkenaan kira-kira pukul 9 pagi.
“Pemeriksaan lanjut, polis turut menemukan payung dan selipar dipercayai miliknya serta nota mengandungi nombor telefon ahli keluarga.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mazuri Mat Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 9.39 pagi seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.
Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) bergegas ke lokasi.
“Mayat dinaikkan oleh anggota pada pukul 10.12 pagi dan diserahkan kepada polis serta paramedik di lokasi untuk diperiksa,” jelasnya di sini.- UTUSAN










