Wanita berpakaian ihram seperti lelaki, tindakan tidak berakal

Wanita berpakaian ihram seperti lelaki, tindakan tidak berakal – Mufti

TANGKAP layar rakaman video yang tular di dalam media sosial berkenaan seorang wanita yang berada di Mekah dan menziarahi Raudhah dengan lengkap berpakaian ihram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tindakan individu didakwa seorang wanita yang berada di Mekah dan menziarahi Raudhah dengan lengkap berpakaian ihram sebagaimana jemaah umrah lelaki disifatkan sebagai hanya memudaratkan diri sendiri sedangkan agama Islam tidak terjejas oleh tindakan yang tidak berakal itu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, agama bukan bahan mainan atau sendaan dan seorang Muslim dituntut menghormati dan mengagungkan agamanya. 

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR

Katanya, melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum Islam dengan sengaja bererti mempermain-mainkan atau mempersendakan agama. 

“Dengan tindakan sedemikian pelakunya menjadi kafir. Jika tidak bertaubat dia akan dihumban ke neraka dan akan menerima siksaan yang dahsyat di akhirat. 

“Sebenarnya mereka ini hanya memudaratkan diri sendiri sedangkan agama Islam tidak terjejas oleh tindakan yang tidak berakal ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tular di media sosial sejak semalam beberapa hantaran video seorang wanita yang berada di Mekah dan menziarahi Raudhah, lengkap berpakaian ihram sebagaimana jemaah umrah lelaki.

Menurut Wan Salim, banyak lagi cara untuk mencari populariti, namun bukan dengan menjadikan agama sebagai bahan mainan atau sendaan.

“Allah SWT tidak dimudaratkan oleh kemaksiatan sesiapa dan tidak mendapat manfaat daripada ketaatan sesiapa. Agama Allah SWT tetap berkembang pesat dari semasa ke semasa terutama dalam kalangan para ilmuwan dan cerdik pandai di dalam pelbagai bidang ilmu dan kerjaya,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, memang sejak zaman Rasulullah SAW lagi sudah wujud golongan yang suka mempersendakan agama Islam dan menjadikannya bahan mainan.

“Golongan sebeginilah yang dimaksudkan di dalam firman Allah, surah At-Taubah: 66: “Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu bermain-main?”

“Sesiapa melakukan tindakan sedemikian sesungguhnya dia telah kufur (jatuh kafir) sebab dikira memandang ringan kepada agamanya,” katanya.

Tambah beliau, keimanan menuntut seseorang mengagungkan serta menghormati Allah SWT, Rasul-Nya dan agama-Nya, sedangkan golongan itu meringan-ringan kesemua tersebut.

“Sebenarnya perbuatan mempersenda dan mempermainkan agama adalah sifat orang munafik yang diancam di dalam al-Quran dengan siksaan neraka yang ngeri di akhirat kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.