PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki dipukul seorang wanita dalam kejadian yang dikatakan berlaku di sebuah tadika di Kepong, dekat sini, seperti tular dalam media sosial.
Siasatan berkenaan dilakukan selepas satu laporan diterima polis daripada ibu kanak-kanak terbabit pada pukul 4.56 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian disedari wanita berusia 33 tahun itu selepas melihat dua rakaman video masing-masing berdurasi lima saat yang tular dalam Facebook melihatkan anak lelakinya dipukul seorang wanita yang juga pengasuh di tadika berkenaan.
Kata beliau, dalam hantaran itu jelas menunjukkan kanak-kanak terbabit menangis selepas dipukul dengan kasar menggunakan tangan dan dipaksa makan sesuatu.
“Pengadu mengesahkan bahawa kanak-kanak di dalam video itu adalah anak lelakinya. Semakan polis mendapati kejadian berlaku pada Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Eng Lai, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Beliau turut menasihati individu yang mengetahui atau mengesyaki kanak-kanak dalam bahaya atau berisiko untuk didera dan diabai supaya melaporkan kepada polis dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222. – UTUSAN









