Usia bukan penghalang kuasai ilmu jahitan, fesyen - Utusan Malaysia

Usia bukan penghalang kuasai ilmu jahitan, fesyen

HAWATI Hassan (kanan) dan Noraza Nayan bersama sijil masing-masing pada Majlis Graduasi GiatMara 2022 di Kubang Menerong, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI: Dua wanita membuktikan usia bukan penghalang untuk mencapai impian termasuk berjaya dalam bidang yang diminati meskipun terpaksa bersaing dengan penuntut yang jauh lebih muda.

Lebih manis, bagi Hawati Hassan, dia juga berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kursus jahitan pakaian dan fesyen di bawah kendalian GiatMara dalam keadaan menahan kesakitan akibat penyakit arthritis.

Menurut Hawati, 59, dia bersyukur dan berbangga kerana berjaya mendepani rintangan sepanjang mengikuti pengajian separuh masa di GiatMara Batu Kawan dekat sini.

Apatah lagi katanya, dia terpaksa menggunakan tongkat untuk ke kelas sepanjang pengajian disebabkan penyakit arthritis yang menyerang di bahagian lutut semakin teruk.

“Bagaimanapun, tenaga pengajar yang berpengalaman banyak membantu dan memberi sokongan sepanjang proses pembelajaran.

“Saya sendiri amat meminati bidang jahitan dan selepas ini, insya-Allah saya bercadang untuk menceburi bisnes pakaian yang akan diusahakan bersama anak,” katanya ketika ditemui di Majlis Graduasi GiatMara 2022 di Kubang Menerong, dekat sini hari ini.

Hawati antara 686 graduan pada majlis graduasi yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Datuk Jabar Azman Jaafar.

Sementara itu, bagi Noraza Nayan, 68, kehidupan yang membosankan selepas bersara membuatkan beliau mengikuti pengajian dalam kursus sama yang ditawarkan di GiatMara Tanjung di George Town.

“Selepas pencen, saya mempunyai banyak masa terluang dan memang seronok bila berpeluang bertemu kawan-kawan semasa menghadiri kelas menjahit. Saya kini turut mencari peluang untuk memasarkan tudung jahitan sendiri yang lebih selesa dan berpatutan harganya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya