Usah panik dengan virus Langya

Usah panik dengan virus Langya

KERATAN laporan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat dinasihatkan tidak panik dengan penemuan virus baharu, Langya henipavirus atau LayV yang dikesan menjangkiti 35 individu di China.

Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, virus yang dipercayai berasal daripada shrew atau cencurut itu dijangka tidak seteruk seperti pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, menurut beliau, kemungkinan untuk virus itu berjangkit melalui kontak rapat dan udara, tetap ada.

“Langya berkait dengan virus nipah dan hendra dengan kesan jangkitan terhadap respiratori manusia seperti batuk dan pneumonia.

“Buat masa ini, rakyat Malaysia usah panik kerana impak penularan itu berkemungkinan tidak seperti Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan, virus Langya sudah menjangkiti 35 individu di wilayah Shandong dan Henan antara Disember 2018 dan pertengahan 2021.
Namun, saintis terkemuka memberi jaminan virus yang kali pertama dikesan di China pada akhir tahun 2018 itu, bukan seperti jangkitan Covid-19.
Jaminan itu dibuat selepas laporan mengenai kemunculan patogen baharu itu mencetuskan kebimbangan ramai yang pandemik 2020 berulang.
Setakat ini, Langya hanya menyebabkan gejala ringan pada manusia seperti demam, letih, batuk, hilang selera makan dan sakit otot.

Sementara itu, pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, tidak banyak butiran mengenai penyakit zoonatik itu dikenal pasti buat masa ini kerana ia masih baharu.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Kementerian Kesihatan meningkatkan pengawasan terutama terhadap pengunjung dari China di samping berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa kesihatan di negara berkenaan.

“Rakyat tidak perlu terlalu risau dan sentiasa ikuti makluman daripada pihak kementerian dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.