UMNO perlu buat pertimbangan teruskan kerjasama Pas, Bersatu 

UMNO perlu buat pertimbangan teruskan kerjasama dengan Pas, Bersatu 

ISMAIL KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: UMNO Bahagian Arau masih berharap kepemimpinan parti itu mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Arau, Datuk Ismail Kassim berkata, kepemimpinan parti di peringkat bahagian dan negeri sememangnya mengakui penetapan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), namun dalam masa sama, wujud keperluan untuk melihat pertimbangan-pertimbangan khusus berhubung kerjasama tersebut.

Katanya, langkah tersebut adalah bagi membolehkan UMNO memenangi seberapa banyak kerusi dalam PRU15 bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

“Kita mahukan sebuah kerajaan yang kuat dan tidak perlu lagi berhadapan dengan pertimbangan-pertimbangan politik yang tidak menentu.

“Jadi untuk ke arah itu, kita merayu kepada kepemimpinan tertinggi parti untuk membuat kajian dan pertimbangan semula berhubung kerjasama berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, UMNO tidak memberi sebarang autonomi kepada kepemimpinan negeri dan bahagian untuk bekerjasama dengan Pas dan Bersatu, sebaliknya semua pihak perlu merujuk ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, ketetapan PAU itu merangkumi keseluruhan negeri termasuk Selangor yang sebelum ini meminta kuasa autonomi diberikan sebagai usaha menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.

Dalam masa sama, Pas juga meminta UMNO meneliti semula keputusan tidak memberi sebarang autonomi kepada kepemimpinan negeri untuk bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) khususnya di negeri-negeri yang dilihat berpotensi menang jika kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu bersatu.

Dalam pada itu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang berkata, suasana sokongan pengundi ke atas parti itu pada masa kini juga dilihat masih bercampur khususnya dalam kalangan anak muda yang mempunyai aspirasi berbeza.

“Soal mengenai keputusan PAU lalu itu sebenarnya terletak kepada pimpinan tertinggi UMNO sendiri di mana ketika itu, kepemimpinan telah utarakan (usul) dan bahagian-bahagian pula bersetuju.

“Kalau pucuk pimpinan rasakan inilah masanya kita menggembleng apa jua kekuatan yang boleh kita gunakan demi kemenangan dalam PRU15 nanti, maka apa salahnya kita pertimbangkan kerjasama itu,”katanya.

Tambahnya, kepemimpinan tertinggi parti perlu melihat kerjasama itu sebagai salah satu strategi bagi memenangi semua kerusi yang ditandingi UMNO dalam usaha membentuk sebuah kerajaan yang stabil buat rakyat.

“Bila kerajaan stabil, pelabur pun berminat nak masuk dan ini akan membantu Malaysia untuk kembali semula ke landasan sebenar selepas PRU15 nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN