UMNO minta SPRM, Jabatan Peguam Negara beri penjelasan

UMNO minta SPRM, Jabatan Peguam Negara beri penjelasan

AHMAD MASLAN bergambar bersama juara Kejohanan Futsal Tertutup Piala Ahli Parlimen Pontian di Gelanggang Futsal MPPn, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan atau menafikan keabsahan kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan kenyataan rasmi pada 21 Mei 2022, SPRM mengesahkan bahawa siasatan melibatkan Mohd. Nazlan telah selesai dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei untuk tindakan lanjut.

Walau bagaimanapun, katanya, satu dokumen yang didakwa merupakan kertas siasatan tersebut yang dikatakan terbocor telah menjadi tular ketika ini.

“Kertas tersebut mendakwa ada berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Kejohanan Futsal Tertutup Piala Ahli Parlimen Pontian di Gelanggang Futsal MPPn, di sini.

Mahkamah Persekutuan bermula 15 Ogos lalu mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRN International Sdn. Bhd..

Rayuan terakhir Najib selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu serta denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mohd. Nazlan, iaitu Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, pada 28 Julai 2020.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, tanpa ada niat mencampuri urusan kehakiman, UMNO berpandangan Jabatan Peguam Negara perlu mengumumkan sekiranya  ada tindakan lanjut tentang siasatan tersebut.

“Ini memandangkan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan bagi kes SRC telah menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dokumen bagi memeriksa percanggahan kepentingan Mohd. Nazlan dan kertas siasatan sudah berada tiga bulan di pihak Jabatan Peguam Negara,” ujarnya.

Katanya, UMNO menegaskan integriti institusi yang dilindungi perlu dihormati dan berharap SPRM dan Jabatan Peguam Negara akan menjelaskan kepada rakyat mengenai isu itu  dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN