MARANG: Panel Penasihat Klinik Kesihatan (KK) Pengkalan Berangan di sini, mengambil pendekatan baharu dengan menganjurkan program secara turun padang di kampung-kampung bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya warga emas terhadap keperluan menjalani saringan kesihatan.
Pengerusi Panel Penasihat KK Pengkalan Berangan, Muhammad Hanapi Malek berkata, golongan berkenaan dilihat lebih berminat melakukan pemeriksaan tahap kesihatan di kampung mereka berbanding hadir ke klinik atau hospital.
“Saringan status kesihatan warga emas adalah salah satu perkhidmatan disediakan di KK bagi mengesan faktor risiko kesihatan dan rujukan dilakukan sekiranya perlu.
“Namun tidak semua warga emas tampil berbuat demikian kerana banyak faktor, antaranya jarak lokasi rumah serta perasaan takut ke hospital atau klinik.
“Bagaimanapun, kami mendapati aktiviti pemeriksaan kesihatan melalui program turun padang ini mendapat sambutan dalam kalangan penduduk termasuk warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kesejahteraan Kesihatan Komuniti dan Alam Sekitar di Dataran Sungai Pengkalan Berangan, di sini, hari ini.
Program berkenaan dianjurkan bersama Kelab Kebajikan Masyarakat Sinar Marang, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) Pengkalan Berangan, JPKK Bukit Baru, JPKK Durian Penjara serta JPKK Temala.
Muhammad Hanapi berkata, selaras dengan peranan panel kesihatan bagi wujudkan saluran komunikasi antara masyarakat dan jabatan kesihatan, pihaknya sentiasa merangka aktiviti berkaitan dengan kesihatan bagi kepentingan penduduk setempat. – UTUSAN