KANGAR: Seorang guru dan dua rakannya sanggup mengorbankan masa hujung minggu mereka dengan mengajar kelas tambahan demi meningkatkan taraf pendidikan anak-anak asnaf dan nelayan ke tahap lebih baik di sekitar Kuala Perlis di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad Nabil Rosedi, 27, berkata, dia tergerak hati untuk menyertai kelas tambahan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) itu selepas melihat pendidikan anak-anak daripada golongan tersebut yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
Katanya, penyertaan murid asnaf Tahun Lima dan Enam itu tidak dikenakan bayaran, namun, mereka harus memberi komitmen dengan memastikan kehadiran penuh sepanjang program tersebut berlangsung yang dijangka sehingga akhir tahun ini.
“Murid-murid ini dipilih daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai selepas membuat tapisan dengan melihat latar belakang dan tahap penguasaan akademik sebelum layak terpilih dalam program ini.
“Alhamdulillah, sehingga kini, program ini mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa dan peserta yang komited dan memberi komitmen penuh terhadap kelas tambahan ini,” katanya.
Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu, penganjuran kelas tambahan berkenaan adalah melibatkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Katanya, biar pun latar belakangnya pendidikannya adalah dalam bidang kewartawanan, namun, ia tidak menghalangnya untuk menabur bakti bagi membantu meningkatkan taraf pendidikan golongan kurang berkemampuan ini.
“Saya akan mengajar Bahasa Inggeris manakala dua guru lain membantu mengajar subjek dan Matematik bermula hari Jumaat hingga Ahad di Surau Kampung Seberang Ramai,” katanya.- UTUSAN










