PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan segala pertuduhan terhadap Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tinggi kerajaan.
JPA dalam kenyataan memaklumkan, ia susulan kenyataan yang sedang tular di media sosial berhubung tuduhan kononnya KPPA mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam.
Sebagai menjelaskan situasi itu, JPA berkata, KPPA menegur pihak Imigresen di KLIA khususnya Pegawai James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur di mana pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara.
Malah katanya, mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.
“JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen Imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang. Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” katanya hari ini.
JPA turut menegaskan bahawa teguran tersebut tidak dibuat di khalayak ramai, malah KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah.
Katanya, KPPA juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak sebarang ketidakpatuhan imigresen.
“JPA amat kesal dengan kenyataan-kenyataan palsu yang ditularkan di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Justeru JPA ingin mengesyorkan supaya perkara ini disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya. – UTUSAN