Tubuh Wakaf Malaysia bantu Universiti Al-Quds

Tubuh Wakaf Malaysia bantu Universiti Al-Quds

DR. IMAD Abu Kishek (berdiri kanan barisan hadapan) dalam majlis konvokesyen Universiti Al-Quds di Jerusalem, Palestin, 2 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Al-Quds (AQU) menjalin kerjasama dengan Yayasan Prihatin Malaysia dalam usaha mewujudkan dana Wakaf Malaysia bagi membantu rakyat Palestin menyambung pengajian di universiti itu.

Presiden AQU, Prof. Dr. Imad Abu Kishek berkata, inisiatif itu diambil berdasarkan hubungan akrab Malaysia dan Palestin selain rasa cinta rakyat negara ini terhadap umat negara itu dalam mempertahankan kota suci, Masjid al-Aqsa daripada pendudukan tentera zionis.

Katanya, AQU adalah universiti tunggal di Jerusalem di mana penduduknya sentiasa berada dalam tekanan dan berhadapan ancaman termasuk pengusiran serta pembunuhan ekoran pendudukan haram rejim zionis.

“Namun, kami kena terus berjuang walaupun dalam ke­adaan yang sukar. Walaupun Israel boleh rampas tanah dan harta kami tetapi mereka tidak boleh rampas hak kami menjadi orang yang berpendidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

DR. IMAD ABU KISHEK

AQU ditubuhkan pada 1977 dan kini mempunyai kira-kira 30,000 pelajar di 15 fakulti yang menyediakan pendidikan bermula ijazah sarjana muda sehinggalah ke peringkat doktor falsafah (PhD).

AQU kini berada pada ranking nombor satu di Palestin selain turut menjalin kerjasama dan hubungan baik dengan universiti lain peringkat global.

Ia juga adalah universiti pertama di negara itu yang mempunyai fakulti perubatan, pergigian, farmasi dan undang-undang yang melahirkan siswazah untuk memenuhi pasaran kerja tempatan dan juga global.

Dr. Imad berkata, AQU juga mempunyai kerjasama dengan beberapa universiti di Eropah seperti Jerman selain Amerika Syarikat.

“Kerjasama ini antara lain membolehkan kita mengadakan program pertukaran pelajar antaranya di Jerman termasuk latihan industri selama tiga bulan sebelum menyambung semula pengajian,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar mengalu-alukan kerjasama tersebut sementelah objektif yayasan itu juga adalah bidang pendidikan.

TUAN ASMAWI TUAN UMAR

Katanya, buat masa ini yayasan tersebut aktif dalam membantu terutama anak-anak golongan B40 untuk menyambung pengajian di universiti.

“Kerjasama dengan AQU ini memang tepat pada masanya. Memang banyak organisasi yang bantu rakyat Palestin tetapi lebih bersifat dalam bentuk makanan dan sebagainya. Tetapi kita di yayasan lebih fokus kepada bidang pendidikan,” jelasnya.

Difahamkan, antara bentuk wakaf yang dicadangkan adalah membeli apartmen untuk asrama dan kegunaan universiti itu.

Selain itu, menyediakan dana wakaf bagi tujuan membeli semula tanah dan penempatan yang dirampas Israel.

Turut dicadangkan, menyalurkan tabung khas hasil kutipan solat Jumaat sekali setahun untuk AQU bagi mewujudkan kesedaran tentang kekejaman dan pelan pendudukan tentera Israel di sana – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN