PUTRAJAYA: Tindakan sebuah portal berita mendedahkan dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor disifatkan satu tindakan sengaja menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dalam satu kenyataan memaklumkan, perbuatan tersebut juga menjejaskan pentadbiran keadilan.
Ia susulan satu laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022 dan Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here’ yang disiarkan semalam.
“Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat berkenaan laporan-laporan portal tersebut.
“Pejabat ini menegaskan bahawa badan kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara, ” katanya hari ini.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 1 September ini sebagai tarikh baharu keputusan kes rasuah isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu melibatkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion. – UTUSAN










