DUNGUN: Jenazah tiga sahabat karib yang maut dalam kemalangan di Kilometer 80, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bukit Besi, di sini dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi, hari ini.
Jenazah Muhammad Faris Haikal Mohd. Faizal, Muhammad Hafiqzie Mohd. Zukri dan Mohammad Salman Faris Samsu, masing-masing berusia 14 tahun disolatkan di Masjid Bukit Besi, sebelum dikebumikan kira-kira pukul 10.30 pagi.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu dengan kehadiran ahli keluarga, rakan sekolah dan guru yang mengiringi perjalanan akhir ketiga-tiga sahabat itu.
Ahli keluarga yang masih terkejut dengan tragedi yang menyayat hati itu dilihat tidak dapat menahan kesedihan dengan pemergian ketiga-tiga anak bongsu dalam keluarga mereka.
Sementara itu, nenek Muhammad Faris Haikal, Nolida Ismail, 51, berkata, dia seakan-akan tidak percaya cucu yang dijaganya sejak kecil dijemput ilahi pada usia muda.
“Mak cik masih terkejut dengan apa yang berlaku. Baru sahaja petang semalam kami berbual seperti biasa.
“Luluh hati bila tengok jenazah cucu mak cik diusung polis malam tadi,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.25 malam, ketiga-tiga remaja tersebut maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah Proton Saga Aeroback ketika dalam perjalanan untuk makan malam di sebuah kedai berhampiran lokasi kejadian.
Norlida berkata, dia menjaga Muhammad Faris Haikal sejak lahir selepas ibu bapa remaja tersebut berpisah dan bekerja di luar Terengganu.
Sementara itu, abang ipar kepada Muhammad Hafiqzie, Ahmad Firkran Usuluddin Pasaluddin, 26, berkata, hubungan tiga rakan tersebut rapat dan tidak menyangka persahabatan mereka hingga ke hujung nyawa.
“Mereka sangat rapat dan sering bertiga ke mana-mana. Lagipun, mereka merupakan rakan sekelas dan anak bongsu keluarga masing-masing.
“Muhammad Hafiqzie tidak menunjukkan sebarang perubahan. Memang kami sekeluarga sangat terkejut dengan pemergiannya,” katanya. – UTUSAN