SEREMBAN: Tiga premis di daerah ini dan Port Dickson yang disyaki membuat penyambungan saluran air secara haram diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kelmarin.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, operasi kes curi itu diketuai Pegawai Bahagian Penguatkuasaan SPAN, Shariff Abd. Rahman dan Unit Penguatkuasaan Kecurian Air Sains.
“Dalam serbuan pertama pada pukul 10 pagi, sebuah premis yang merupakan stor simpanan lori didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 32 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan harian pekerja premis.
“Serbuan kedua pula dijalankan ke atas sebuah banglo yang sedang dalam proses ubah suai yang didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 19mm tanpa melalui sebarang meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norzita berkata, premis ketiga yang diserbu pula adalah sebuah bengkel membaiki kenderaan yang mana penghuni premis didapati membuat sambungan menggunakan paip mudah lentur bersaiz 15mm tanpa melalui sebarang meter.
Beliau berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 manakala kes kedua dan ketiga disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
“Pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di ketiga-tiga lokasi dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains. SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti,” katanya. – UTUSAN










