Tiada penjaga lintasan punca kereta api rempuh dua kenderaan

Tiada penjaga lintasan punca kereta api rempuh dua kenderaan

KEMALANGAN membabitkan kereta api dan dua kenderaan lain di Jalan Lintas, Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kegagalan penjaga lintasan rata berada di pondok landasan kereta api di Jalan Lintas dipercayai punca kereta api merempuh dua kenderaan lain semalam.

Susulan itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) diarahkan untuk memasang kamer litar tertutup (CCTV) pada bahagian hadapan kepala kereta api dengan serta merta.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemasangan CCTV itu penting bagi membolehkan sebarang insiden kemalangan direkodkan serta kehadiran kakitangan bertugas dapat dirakam.

Beliau berkata, JKNS juga perlu mempercepatkan penubuhan bahagian pemantauan dan koordinasi untuk memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) operasi dan perkhidmatan dapat dikawal selia dengan lebih baik pada masa akan datang.

Menteri Kerja Raya itu berkata, kemalangan membabitkan kereta api semalam tidak mengakibatkan sebarang kecederaan namun menyebabkan kerosakan pada kereta api dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS).

Menurut beliau, kereta api yang membawa 70 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Beaufort ke Kota Kinabalu itu terlewat daripada jadual asal akibat masalah teknikal lokomotif di kawasan Bongawan.

Perjalanan kemudian diteruskan dan semasa berada di Stesen Kinarut, pemandu kereta api mendapat kebenaran meneruskan perjalanan setelah mendapat kepastian semua penjaga lintasan rata berada di pondak lintasan masing-masing.

Walau bagaimanapun, apabila kereta api tiba di lintasan rata berhampiran jejambat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Jalan Lintas, penjaga lintasan rata tidak berada di pondok.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan palang keselamatan serta siren gagal diaktifkan dan mengakibatkan kereta api bertembung dengan sebuah kenderaan lori dan sebuah pacuan empat roda milik JPVS.

Berdasarkan siasatan awal polis, kedua-dua lori dan pacuan empat roda itu dari arah Jalan Lintas, Kepayan menuju ke KKIA.

Pemeriksaan terhadap lori mendapati ia mengalami kerosakan minimum manakala pacuan empat roda itu mengalami kerosakan yang teruk pada bahagian badan kenderaan.

Bung Moktar berkata, JKNS memaklumkan kereta api itu mengalami kerosakan sedikit di bahagian hadapan enjin.

Beliau juga mengarahkan JKNS agar sentiasa memastikan setiap maklumat kebenaran bergerak disampaikan dengan tepat dan jelas kepada setiap penjaga lintasan rata bagi memastikan kemalangan dapat dielakkan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya