KUANTAN: Tiada keperluan untuk gabungan parti politik ‘rapuh’ bergabung sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang setelah Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan di Dewan Rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, gabungan itu sepatutnya dizahirkan selepas PRU15 setelah mandat diberikan kepada rakyat dan terserah kepada parti politik dominan serta menjadi pilihan untuk menentukan gabungan.
Beliau berpandangan, pada PRU15 akan datang, parti-parti politik atau gabungan utama sedia ada seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pas, PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malah UMNO, MCA dan MIC jika perlu boleh bertanding secara bersendirian atas tiket parti masing-masing.

“Dengan adanya RUU Anti Lompat Parti, setiap parti politik tidak perlu lagi bimbang episod ‘lompat si katak lompat’ akan berulang yang mana sehingga akhir Mac 2022, seramai 39 Ahli Parlimen bertukar parti selepas PRU14.
“Pengalaman pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali selepas PRU14 telah menunjukkan betapa serius isu lompat parti ini.
“Selepas ini, tidak akan berlaku lagi tawar menawar yang menyebabkan berlaku ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar parti dan masuk parti yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh berkata, RUU Anti Lompat Parti akan memberikan keyakinan khususnya kepada pengundi dengan kewujudan sesebuah kerajaan yang dilindungi daripada bencana wakil rakyat melompat atau bertukar parti.
“Pengundi akan menjadi lebih yakin dengan pilihan yang dibuat kerana mereka tahu ahli Parlimen, ADUN dipilih dan seterusnya memenangi kerusi yang ditandingi tidak akan melompat parti.
“Jadi, dengan adanya RUU Anti Lompat Parti, inilah masanya untuk setiap parti-parti politik menguji kekuatan masing-masing dan selepas itu baharu memikirkan soal gabungan bagi membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil selepas PRU15,” katanya.
Menurutnya, gabungan yang ‘rapuh’ tidak akan menjamin kestabilan politik dan episod seperti selepas PRU14 dibimbangi berulang.
“Adalah lebih baik gabungan politik dibentuk selepas pilihan raya umum setelah rakyat membuat keputusan.
“Langkah sebegini telah diamalkan di negara-negara maju dan ia terbukti berkesan dalam memastikan kestabilan politik berpanjangan dalam sesebuah kerajaan memerintah,” katanya. – UTUSAN