Tiada elemen gengsterisme dalam kes pelajar MSRM Kuantan - Utusan Malaysia

Tiada elemen gengsterisme dalam kes pelajar MSRM Kuantan

BAJU sekolah yang didakwa digunting menerusi perbuatan khianat dan gengsterisme di MRSM Kuantan di Kuantan Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Berdasarkan dakwaan kes buli terhadap pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) Kuantan di sini, polis mengesahkan tiada sebarang elemen gengsterisme dipercayai wujud dalam kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, dapatan itu hasil siasatan awal yang dijalankan polis berhubung laporan daripada ibu kepada mangsa pelajar terbabit.

Menurutnya, polis turut membuat siasatan susulan mengesan hantaran berkaitan kes itu yang telah dimuat naik pemilik akaun lama sosial Facebook, Nazira Mohamed.

“Kita sudah merakam percakapan mereka yang terlibat seperti guru-guru, pelajar-pelajar MSRM dan termasuk ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu. Jadi, siasatan awal juga mendapati tidak wujud sebarang unsur gengsterism dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Zahari berkata, pihak polis menerima dua laporan daripada ibu mangsa dan warden MSRM berhubung kes itu.

“Kes tersebut  disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan akibat perbuatan khianat. Susulan itu juga, orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang hantaran dan perkongsian yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan sewajarnya adalah mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, terdahulu, seorang wanita dalam hantaran di laman Facebooknya mendakwa berlaku perbuatan khianat dan gengsterism terhadap pelajar di MRSM Kuantan.

Dalam hantarannya itu, wanita tersebut mendakwa wujud budaya gengsterisme di sekolah itu apabila baju sekolah anak diconteng dan rambut juga digunting ketika tidur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.