Tebing runtuh: Keselamatan penduduk terancam

Tebing runtuh: Keselamatan penduduk Rumah Rakyat Batang Benar terancam

KEADAAN belakang rumah salah seorang penduduk yang runtuh dalam kejadian tebing runtuh di Rumah Rakyat Batang Benar, Mantin, Seremban, petang semalam. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak enam buah kediaman di Rumah Rakyat Batang Benar, Mantin dekat sini rosak susulan kejadian tanah mendap dan tebing runtuh yang berlaku selepas hujan lebat petang semalam.

Wakil penduduk yang ditemui pemberita, Anuar Ab. Latid, 68, berkata, kejadian tebing runtuh di bahagian belakang rumah penduduk itu berpunca daripada hujan lebat yang bermula sejak pukul 3.30 petang semalam. 

“Kejadian ini kali pertama berlaku, berkemungkinan berpunca daripada hujan lebat sejak dua hari lalu. Selain itu, terdapat juga projek perumahan baharu yang sedang dibina ketika ini di bahagian belakang rumah penduduk. 

“Projek perumahan itu turut melibatkan pembinaan longkang dan apabila hujan lebat telah menyebabkan bahagian berdekatan tebing telah runtuh,” katanya di sini hari ini.

Menurut Anuar, tiga tahun lalu, beberapa orang penduduk pernah menghantar surat aduan kepada pihak berwajib susulan berlakunya retakan di rumah penduduk. 

“Bagaimanapun, tiada tindakan yang diambil pihak terbabit sehingga kejadian runtuhan ini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang ditemui, R. Kumar, 39, berkata, ketika kejadian tebing runtuh itu, dia berada di tempat kerja namun, bergegas pulang kerana ibu dan adik-beradik berada di dalam rumah. 

“Setibanya di rumah, saya mendapati terdapat retakan di bahagian belakang dapur rumah. Sekarang ini kami bimbang kerana bahagian dapur memang tidak boleh digunakan kerana kesemua bahagian (dapur) retak teruk dan berbahaya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, V. Nirmala Devi, 38, memberitahu, dia masih berasa terkejut dan tidak menjangka kejadian tersebut boleh berlaku.

“Memang terkejut kerana ia tidak pernah berlaku selama ini. Kebanyakan barangan di dapur termasuk mesin basuh dan kawasan jemuran rosak teruk akibat runtuhan ini,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin, Penolong Penguasa Bomba, Priscilla Carol Thomas ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya mendapati enam buah rumah tersebut mengalami keretakan dan runtuhan di bahagian belakang.

“Bagaimanapun, pihak bomba mendapati kejadian tebing runtuh tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN