Tarik sokongan, PRU diadakan - Ismail Sabri

Tarik sokongan, PRU diadakan – Ismail Sabri

KERATAN laporan Utusan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: “Kalau ada yang menarik sokongan dan kerajaan tumbang, maka pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan selepas itu.”

Demikian penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung dakwaan sebuah gabungan parti politik membayangkan untuk menarik sokongan daripada kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan termasuk penarikan sokongan tersebut

“Saya pun dengar berita macam itu (penarikan sokongan daripada kerajaan). Negara kita adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, jadi terserah kepada siapa untuk membuat sebarang keputusan.

“Mana-mana parti pun boleh buat keputusan sendiri, yang pentingnya kesan daripada itu kita terpaksa hadapi jika ada yang menarik sokongan,” katanya selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan 2022 (MAHA 2022), di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Perikatan Nasional (PN) membayangkan mengkaji semula perjanjian dengan Naib Presiden UMNO itu ekoran tindakan beliau membatalkan pertemuan dengan pemimpin kanan gabungan itu selain membabitkan tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, dakwaan tersebut tidak dikeluarkan oleh PN secara rasmi tetapi hanya pendapat individu.

“Kenyataan tersebut tidak dikeluarkan secara rasmi oleh parti itu, mungkin satu dua orang sahaja. Ada dalam kalangan ahli parti mengatakan perkara itu tidak pun dibawa dalam mesyuarat, dari segi tindakan mesti berdasarkan keputusan rasmi parti,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sedia menghadapi kemungkinan termasuk kejatuhan kerajaan kerana penarikan sokongan tersebut.

“Kerajaan sentiasa bersedia dalam apa saja keadaan kita sedia, kalau bersedia untuk adakan PRU, maka kita akan adakan.

“Kalau kerajaan hari ini masih kekal, maka kita akan pertimbang dari segi tarikh PRU mengikut kesesuaian. Saya dah sebut, PRU akan tetap diadakan cuma tarikh yang sesuai akan ditentukan.

“Tapi kalau ada tindakan-tindakan menarik sokongan sebelum tarikh yang ditentukan, kita juga akan mengambil tindakan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya