SEREMBAN: Membubarkan Parlimen adalah satu-satunya pilihan yang ada pada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan dalam kerajaan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penegasan Perdana Menteri bahawa pilihan raya umum perlu diadakan sekiranya ada pihak yang menarik sokongan dan menyebabkan kerajaan tumbang adalah suatu fakta dan perkara yang normal dalam amalan demokrasi.
“Sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri menyatakan sesuatu perkara yang fakta, jika tiada lagi sokongan, apa pilihan yang dia ada? Satu-satunya pilihan adalah dengan membubarkan Parlimen.
“Itulah asas demokrasi kita iaitu Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk bubarkan Parlimen atau letakkan jawatan. Kita sudah masuk ke dalam zon untuk Parlimen boleh dibubarkan, memang biasanya orang akan bercakap tentang pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri menegaskan, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan jika ada pihak menarik sokongan yang menyebabkan kerajaan ketika ini tumbang.
Ia selepas terdapat media yang melaporkan, Perikatan Nasional (PN) membayangkan untuk mengkaji semula perjanjian dengan Ismail Sabri ekoran tindakan beliau membatalkan pertemuan dengan pemimpin kanan gabungan itu selain membabitkan tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri. – UTUSAN