PUTRAJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mahu menjalinkan kerjasama dengan The African Qualifications Verification Network (AQVN) untuk menarik minat pelajar dari benua Afrika menyambung pengajian di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kerjasama itu akan melebarkan sayap pendidikan tinggi Malaysia ke benua Afrika yang dirancang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU).
Katanya, kerjasama berkenaan bakal menyaksikan berlakunya kesetaraan pengiktirafan antara universiti di bawah naungan AQVN dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
“Ini ialah satu daripada agenda signifikan kepada MQA kerana pada tahun ini kami menyasar memperkukuh reputasi pendidikan tinggi Malaysia
Ini kerana reputasi tersebut berpotensi sangat besar untuk menghantar pelajar ke Malaysia lebih-lebih lagi dengan kerjasama AQVN yang menaungi 30 negara di bawahnya.
“Dengan kualiti pendidikan tinggi negara yang baik di persada global diyakini agenda ini akan dapat dijayakan, seterusnya membantu mencapai hasrat YBM untuk menarik 250,000 pelajar antarabangsa pada tahun 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan dengan Pengerusi AQVN, Mirriam M. A Chiyaba yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Zambia Qualifications Authority.
Perbincangan tersebut diadakan selepas Persidangan Meja Bulat Peringkat Tinggi untuk Naib Canselor & Ketua Institusi Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) Commonwealth of Learning (COL) dan Asia eUniversity (AeU) di Georgetown, Pulau Pinang.
Mohammad Shatar bertindak sebagai moderator pada sesi keenam dengan tajuk ‘Membina Ketahanan’ yang disertai tiga panelis iaitu Naib Canselor Allama Iqbal Open University (AIOU), Pakistan Professor Dr Zia Ul-Qayyum; Pengerusi Tertiary Education Commission (TEC), Sierra Leone, Prof. Aliyageen Alghali dan Naib Canselor National University of Lesotho (NUL), Lesotho, Prof. Olusola Fajana.
Mengulas mengenai persidangan itu, Mohammad Shatar berkata, pelbagai isu dibincang dalam suasana pengajian tinggi tidak menentu dan sukar dijangkakan dan bagaimana pihak universiti bertindak balas dalam mendepani isu dihadapi.
“Pendidikan fleksibel yang menjadi trend terkini pengajian tinggi juga menjadi topik hangat dibincangkan termasuk penawaran Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan program Micro-credentials,” katanya. – UTUSAN