Suspek perlu terima hukuman setimpal - Keluarga mangsa

Suspek bunuh kekasih perlu terima hukuman setimpal – Keluarga mangsa

RUMAH yang menjadi lokasi seorang wanita ditekup dengan bantal sehingga mati oleh kekasihnya dekat Kampung Pandan di Klang, Selangor, pada Rabu lalu. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Keluarga seorang wanita yang maut ditekup bantal oleh kekasihnya di Kampung Pandan di sini, kelmarin mahu suspek menerima hukuman setimpal atas perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Tragedi menimpa kerani swasta berusia 24 tahun berkenaan dianggap amat mengejutkan dan perlu mendapat keadilan sewajarnya.

Kakak mangsa berusia 30-an yang enggan namanya didedahkan memberitahu, arwah disifatkan sebagai peramah, pemurah dan tidak bermusuhan dengan sesiapa, malah tidak menyangka keakrabannya sejak akhir-akhir ini memberi petanda adiknya akan pergi selama-lamanya.

“Kami sememangnya masih terkejut dengan apa yang berlaku dan tidak dapat menerima perbuatan suspek.

“Justeru, kami mahu lelaki itu menerima pembalasan seadilnya dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan mangsa menemui ajal akibat ditekup dengan bantal selepas memutuskan hubungan dengan kekasihnya berusia 19 tahun di sebuah rumah di kampung tersebut.

Kejadian kira-kira pukul 7.18 malam itu dikesan selepas seorang wanita yang juga kenalan suspek membuat aduan di Balai Polis Klang pada hari sama selepas menerima panggilan video aplikasi Whatsapp daripada suspek

Bagaimanapun, polis menemukan mangsa dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah tersebut sebelum menangkap suspek kira-kira pukul 9.20 malam hari sama apabila gagal melarikan diri di sekitar lokasi kejadian.

Dalam pada itu, jelas kakak mangsa, dia hanya menyedari kejadian selepas melihat ambulans dan polis di sekitar rumah tersebut, kira-kira pukul 9.30 malam.

“Rumah saya hanya berada bersebelahan rumah mangsa dan keluarga sememangnya tidak mendengar sebarang bunyi bising ketika kejadian.

“Malam Selasa lalu, saya turut sempat mengajaknya untuk makan namun ditolak dan tidak menyangka ia petanda arwah mahu meninggal kami buat selamanya,” ujarnya.

Tambah beliau, keluarga turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Raja petang ini.

Suspek yang dipercayai bekerja sebagai pekerja am sebuah syarikat penghantaran kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN