Sultan Nazrin saksi perbarisan Hari Kebangsaan

Sultan Nazrin saksi perbarisan Hari Kebangsaan bersama 20,000 pengunjung

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah memeriksa Kawalan Kehormatan Utama pegawai dan anggota RAJD 2 Division Kem Sangro, Taiping pada perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri Perak di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyaksikan perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di sini, hari ini yang dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Baginda berdua tiba di lokasi sambutan pada pukul 8.20 pagi dengan ditemani dua anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Berangkat sama Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim dan turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta isteri, Datin Seri Aezer Zubun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Sambutan bermula dengan perarakan masuk panji unit dan kawalan kehormatan utama dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Diraja Malaysia (TLDM).

Sultan Nazrin kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Division Kem Sangro, Taiping.

Acara sambutan bermula dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa oleh Imam Besar  Masjid Negeri, Abd Farid Salleh. Ini diikuti nyanyian koir gabungan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ave Maria Convent, Sekolah Menengah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK)  Sam Tet Ipoh dan SMJK Ave Maria Convent dengan lagu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersatu’ dan ‘Jalur Gemilang’.

Sambutan diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 95 kontinjen yang disertai kira-kira 6,200 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Antara kontinjen yang menyertai perbarisan berkenaan ialah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak. Sambutan berakhir pada pukul 10.30 pagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya