BUKIT MERTAJAM: “Kami bertuah kerana boleh bergantung harap sesama sendiri. Kami belajar bersama dan lakukan hampir semua perkara secara bersama. Kejayaan ini juga adalah hasil usaha keras kami secara bersama.”
Itu kata calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021, Yeap Kai Wen, 20, mengenai pencapaiannya bersama pasangan kembar, Yeap Kai Wei, 20.
Kedua-dua mereka merupakan antara 18 calon cemerlang dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan berkenaan.
Kai Wen memperoleh A dalam subjek Matematik, Kimia, Fizik dan Pengajian Am manakala Kai Wei pula mendapat A dalam subjek Kimia, Biologi, Matematik dan Pengajian Am.
Menurut Kai Wen, mereka juga bertuah kerana mempunyai ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan yang memahami serta banyak membantu dalam pelajaran sekali gus menjadi penyumbang kepada kejayaan tersebut.
“Saya akan menyambung pengajian di Nanyang Technological University di Singapura dalam bidang kimia dan kejuruteraan bio molekul manakala Kai Wei pula kini sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di universiti tempatan,” katanya.
Tambah Kai Wen, keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM itu juga adalah lanjutan daripada kejayaan mereka memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini.
Pasangan kembar itu ditemui pemberita ketika majlis pengumuman keputusan STPM peringkat negeri Pulau Pinang di sekolah mereka oleh Timbalan Pengarah Pendidikan negeri (Sektor Pengurusan Sekolah), Wan Sajiri Wan Hassan, hari ini.
Bagi penerima anugerah calon Berkeperluan Pendidikan Khas (Calon Rabun) yang juga dari SMJK Jit Sin, Ho Hua Ze, 20, dia berpuas hati dengan kejayaan memperoleh CGPA 3.92 walaupun menyasarkan untuk mendapat keputusan lebih cemerlang dalam peperiksaan itu.
Anak kepada seorang pekerja binaan itu berkata, dia juga tetap akan meneruskan impiannya untuk menjadi seorang guru.
“Walaupun saya menghadapi masalah lambat untuk ‘faham’ pelajaran berbanding rakan-rakan yang lain, saya tidak pernah jadikan kekangan itu sebagai halangan untuk berjaya. Saya juga tidak pernah menganggap diri saya berbeza berbanding pelajar lain disebabkan masalah yang saya hadapi ini,” katanya yang mempunyai masalah rabun sejak kanak-kanak. – UTUSAN