IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mematahkan cubaan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Pusing dekat sini, semalam.
Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, ketika serbuan kira-kira pukul 2.30 petang itu dijalankan, terdapat sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen tersebut yang mana terdapat cecair disyaki minyak diesel disimpan di dalam dua tangki plastik di atas lori berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati saluran tangki asal minyak lori terbabit diubah suai dan disambungkan dengan dua tangki tersebut.
“Semakan lanjut mendapati pemandu lori juga tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemandu lori berusia 41 tahun ditahan untuk siasatan lanjut manakala 1,400 liter minyak diesel dengan nilai sitaan berjumlah RM14,160 dirampas.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – UTUSAN