Stadium Shah Alam: Dedahkan pulangan kepada swasta - Ronnie Liu

Stadium Shah Alam: Dedahkan pulangan kepada swasta – Ronnie Liu

Pemandangan udara keadaan Stadium Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri digesa mendedahkan timbal balik terhadap projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang merangkumi Stadium Shah Alam, Stadium Mini dan Stadium Malawati yang dikenal pasti kos baik pulihnya bernilai RM787 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari digesa mendedahkan pulangan yang diperoleh kerajaan negeri dan balasan kepada syarikat pemaju apabila projek tersebut didakwa dibiayai sepenuhnya oleh swasta melalui kerjasama awam-swasta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew (DAP) berkata, beliau tidak berpuas hati dengan penjelasan Amirudin berhubung pembangunan semula KSSA yang ditegaskannya sekali lagi sebagai terlalu mahal.

Katanya, kerajaan negeri boleh melaksanakan pelbagai alternatif berbanding meroboh semula atau menunjukkan bahagian-bahagian yang tidak lagi boleh diganti seperti bumbung polikarbonat dan lain-lain.

“Sebab saya sudah buat lawatan, saya nampak struktur itu kukuh. Kalau bumbung polikarbonat itu tak baik, mereka boleh gantikan dengan material lain, tak perlu kekal kepada polikarbonat yang dikatakan cepat rosak dan sebagainya.

“Saya tak percaya, untuk baik pulih boleh telan kos sampai RM787 juta, saya tak percaya. Yalah, ada katakan atas satu jawatan kuasa khas yang buat, tetapi saya minta diteliti semula,” katanya ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir, hari ini.


RONNIE Liu Tian

Ronnie Liu berkata, beliau tidak bersetuju dengan perobohan stadium terbabit yang disifatkan mempunyai nilai sejarah, namun tidak menolak jika kerajaan negeri mahu membina stadium di tempat lain.

Terdahulu bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor itu menimbulkan kekecohan pada Sidang DUN ketika mencelah dalam ucapan penggulungan usul Rancangan Selangor Pertama (RS1) oleh Amirudin.

Bagaimanapun, Amirudin kemudian menempelak beliau sebagai ‘tersilau dengan kilauan kepala’ dalam perbandingan antara KSSA dengan Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Tertutup Axiata dan Kompleks Renang yang kos baik pulihnya pada 2017 menelan belanja sehingga RM1 bilion.

Ronnie Liu kemudian mendakwa, ramai ADUN tidak bersetuju dengan perobohan stadium terbabit, namun tidak bersuara di dalam dewan.

Malah, beliau memaklumkan kerajaan negeri dibimbangi mengalami kerugian dalam projek tersebut jika pertukaran tanah sebagai galang ganti dibuat di sekitar kawasan KSSA.

“Ada orang tanya saya, saya pun tak pasti mana tapak sebenarnya akan ditukar ganti bagi projek pembangunan KSSA. Kalau tapak itu yang sekarang ini ada di Seksyen 13, itu memang bernilai tinggi.

“Sampai sekarang Menteri Besar tidak dedahkan lagi mana kawasan yang dikenal pasti. Tak ada info. Saya rasa ramai yang tak setuju, tetapi mereka tidak bersuara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.