fbpx

Skim insurans takaful untuk agromakanan

SERDANG: Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkenal Skim Insurans Takaful Agromakanan melibatkan keseluruhan sektor itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai permulaan, subsektor padi dan beras dipilih sebagai projek rintis kementerian yang bakal memanfaatkan seramai 189,500 pesawah padi sebelum diperluas secara peringkat ke sektor lain.

Kata beliau, skim tersebut juga dilakukan untuk mengurangkan implikasi kewangan yang dihadapi oleh golongan yang terlibat dengan sektor agromakanan akibat pelbagai masalah.

“Skim ini bertujuan mengurangkan implikasi kewangan akibat kehilangan hasil tanaman berikutan berlakunya bencana alam seperti banjir dan kemarau serta gangguan wabak penyakit.

“Para pesawah dipastikan menerima ganti rugi atau pampasan yang setimpal sekiranya berlaku gangguan terhadap produktiviti pengeluaran padi negara seperti bencana alam atau wabak penyakit,” katanya semasa berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022, di sini.

Pameran MAHA 2022 juga dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Ismail Sabri berkata, MAFI melalui Agrobank memperuntukkan sebanyak RM800 juta kepada komuniti pertanian di bawah Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) sebagai usaha meningkatkan pengeluaran makanan negara.

“Berikutan sambutan yang memberangsangkan, kerajaan juga bersetuju menambah RM200 juta lagi dalam dana pembiayaan kos rendah untuk menjadikannya RM1 bilion bagi manfaat seluruh komuniti pertanian agromakanan kita.

“Agrobank juga akan menubuhkan sebuah entiti pelaburan khusus dalam masa terdekat untuk sektor pertanian bagi meningkatkan pelaburan domestik dalam sektor agromakanan negara,” katanya. – UTUSAN

 

 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!