Siasatan LCS masih berjalan

Siasatan LCS masih berjalan – Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati  membuat sebarang kenyataan membabitkan isu kepincangan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menegaskan kepada Utusan Malaysia, Azam berkata, siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut dan pihaknya memikul tanggungjawab menjaga setiap kerahsiaan hasil siasatan.

Kata beliau, sebarang kenyataan atau reaksi yang dikeluarkan oleh mana-mana individu boleh mengganggu siasatan dijalankan SPRM.

“Sebarang fakta atau maklumat yang dikeluarkan oleh mana-mana individu tidak semestinya tepat atau tidak. 

“Jika ada perkembangan terbaharu mengenai hasil  siasatan, sudah pasti SPRM akan maklum kepada semua,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, isu LCS terus mendapat perhatian Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mempersoalkan rasional di sebalik fakta sebuah subkontraktor yang baru ditubuhkan 45 hari boleh membuat tuntutan berjumlah RM178 juta daripada projek pertahanan utama negara.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, tadbir urus Kementerian Pertahanan untuk kontrak pembekalan  projek pembinaan LCS lemah dan tidak menjaga kepentingan kerajaan.

Kesimpulan itu dikemukakan dalam Laporan Siasatan Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan LCS, TLDM.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang mula dinyahklasifikasi semalam, jawatankuasa tersebut mendapati sebahagian klausa-klausa kontrak tidak menjaga kepentingan kerajaan serta tidak mengambil kira peraturan dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.

Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) juga didapati mempunyai kelemahan dari aspek pengurusan dan kekangan kewangan yang amat kritikal.

Laporan JKSTUPKK yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang juga mendapati kelemahan klausa kontrak dan syarikat BNS telah menjurus kepada kelewatan pelaksanaan pembinaan enam buah LCS tersebut

Laporan tersebut turut menyebut, kelewatan pihak kerajaan dan pihak syarikat untuk memuktamadkan beberapa komponen projek turut menjejaskan prestasi pelaksanaan projek secara keseluruhan dan menyumbang kepada peningkatan kos dan kelewatan penyerahan LCS.

Skandal kepincangan projek perolehan LCS itu menarik perhatian ramai apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan tiada kapal diterima setakat ini walhal TLDM sepatutnya menerima LCS pertama pada April 2019 setelah membuat bayaran RM6.083 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN