Shahrol Shiro janji selesai isu gangguan gajah - Utusan Malaysia

Shahrol Shiro janji selesai isu gangguan gajah

SHAHROL AZIZI AZMI menunjukkan watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis MPK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Bekas pelawak kumpulan Shiro, Shahrol Azizie Azmi yang dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) berjanji akan menggalas tanggungjawab untuk memastikan kawasan dipertanggungjawabkan terhindar daripada sebarang masalah pentadbiran.

Shahrol, 38, berkata, tugas yang diamanahkan itu bukan mudah, namun berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, antara permasalahan utama yang menjadi perhatiannya adalah berkaitan gangguan gajah liar di sekitar Kluang, terutamanya melibatkan kawasan Taman Sri Impian.

“Walaupun sudah lama berlaku kejadian seperti ini, namun masih belum ada tindakan konkrit dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk syarikat yang bertanggungjawab membina kawasan kediaman ini.

“Jika sebelum ini kumpulan gajah berkenaan hanya mengganggu tanaman yang ditanam di pinggir kawasan kediaman berkenaan, namun sejak akhir-akhir ini gajah sudah berani untuk masuk lebih dekat ke rumah penduduk.

“Apa yang dibimbangi adalah sekiranya ada provokasi daripada penduduk akan menyebabkan kumpulan gajah berkenaan marah dan mungkin boleh mengakibatkan keadaan lebih buruk termasuk kematian,” katanya ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah bersama 24 Ahli Majlis MPK di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini hari ini.

Tugas mereka bermula 1 Ogos hingga 31 Disember 2023.

Jelas Shahrol, pelantikannya sebagai Ahli Majlis tidak akan dipersia dan dibuktikan menerusi pelbagai perancangan secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan semasa.

“Namun, sekiranya ditugaskan untuk kawasan kediaman lain, saya akan berusaha mendekati penduduk seterusnya mendalami setiap permasalahan dihadapi sebelum dibawa ke peringkat tertinggi di MPK untuk dibincangkan dan diatasi dengan sebaiknya,” katanya.

Hadir menyaksikan majlis angkat sumpah berkenaan ialah Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Norliyati Md. Nor dan Setiausaha MPK, Mohamad Yazid Baharudin.

Shahrol yang lebih dikenali dengan nama Shahrol Shiro mula berjinak-jinak dalam politik pada 2019 sebelum dilantik sebagai Penolong Bendahari Pergerakkan Pemuda UMNO Bahagian Kluang.

Selain berkecimpung dalam arena politik selepas meninggalkan kerjayanya sebagai artis, Shahrol kini adalah Pengarah syarikat Bushido Production. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya