Shahrir bayar RM549,090 untuk baik pulih projek perumahan Puri Langkasuka

Shahrir bayar RM549,090 untuk baik pulih projek perumahan Puri Langkasuka

SHAHRIR SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang saksi mengesahkan menerima bayaran berjumlah RM549,090 daripada bekas Pengerusi Felda, Sharil @ Shahrir Ab. Samad bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih projek Puri Langkasuka, Larkin yang terbengkalai selama lapan tahun.

Peniaga, Syed Mohsin Syed Sagaf, 65, berkata dia telah menyerahkan tiga invois yang dikeluarkan syarikat milik anaknya, YM Auto Wheels Enterprise, masing-masing bernilai RM 206,950, RM256,950 dan RM86,040 kepada ahli politik itu sebagai tuntutan bayaran membaik pulih tiga blok iaitu C, D dan E bagi projek tersebut. 

“Saya sendiri yang menyerahkan invois-invois bertarikh 22 Mac 2014 itu kepada Tan Sri Sharil @ Shahrir Abdul Samad. Ini merupakan tuntutan yang dibuat oleh saya kepada Tan Sri Sharil @ Shahrir Abdul Samad berkaitan kerja baikpulih Projek Puri Langkasuka bagi Blok C, D dan E. 

“Saya sahkan bahawa tuntutan tersebut telah dibayar sepenuhnya oleh Tan Sri Sharil @ Shahrir bin Abdul Samad,” kata saksi pendakwaan ke-10 itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. 

Menurut penyataan saksi peniaga itu, pada Oktober 2013, Shahrir telah meminta bantuan Syed Mohsin kerana mengetahui dia mempunyai ramai kawan yang bekerja sebagai kontraktor. 

Ujarnya, Shahrir juga memaklumkan bahawa akan mengeluarkan duit sendiri untuk menanggung kos baik pulih tersebut dan kerja-kerja baik pulih boleh dijalankan pada bila-bila masa mengikut kelapangan saksi itu.

Syed Mohsin berkata, pada mulanya dia telah menggunakan wang peribadi untuk memulakan kerja-kerja membaik pulih kerosakan seperti pintu, lantai dan pendawaian bagi blok C, D dan E pada Oktober 2013 dengan menggunakan wang peribadinya untuk tujuan membeli barang-barang, membayar hutang pembekal dan upah pekerja.

Menurut kenyataannya lagi, memandangkan dia telah kehabisan modal kewangan saksi itu telah berjumpa dengan Shahrir di pejabatnya dan meminta bayaran daripada beliau secara lisan berikutan ahli politik itu akan mengeluarkan duitnya untuk menanggung kos membaik pulih untuk projek itu.

Shahrir didakwa tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013.

Cek itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013 dan dia didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 24 April 2014 di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April, 2014.-

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali, Syed Mohsin memaklumkan tidak mengetahui sumber wang yang diberikan oleh Shahrir.

Menjawab soalan peguam bela, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, saksi itu menyatakan Shahrir merupakan seorang yang boleh dipercayai kerana menggunakan duit sendiri untuk membayar projek itu dan merupakan wakil rakyat terbaik.

Pertuduhan terhadap Sharir dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar keterangan saksi yang merupakan bekas pemilik syarikat YM Auto Wheels Enterprise, Syed Yussof. 

Saksi pendakwaan ke-11 itu menyentuh mengenai tiga invois yang dituntut bapanya, Syed Yussof mengesahkan tandatangan pada invois-invois tersebut milik bapanya, Syed Mohsin.  

Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi bertanya kepada Syed Yussof tahu mengenai bapa telah menggunakan nama syarikat milik lelaki itu untuk projek tersebut. Saksi itu menjawab, tahu. 

Rasyidah Murni: Ada apa-apa komisen ayah kamu bagi pada kamu sebab guna nama syarikat?

Syed Yussof: Tidak ada.

Saksi itu turut memberitahu bahawa syarikatnya yang menjalankan perniagaan jual beli kereta terpakai itu tidak lagi beroperasi. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.