KUALA LUMPUR: “Semoga saya mendapat keadilan, semoga kebenaran tetap muncul dan menghapuskan kebatilan”.
Demikian kata-kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas bersama-sama hampir 100 jemaah menunaikan solat Isyak dan solat sunat hajat di Masjid Kampung Baru dekat sini.
Kata beliau, kehadiran rakyat pada malam ini amat dihargai bagi bersama-sama mendoakan kehadiran keadilan kepadanya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sudi mengadakan solat sunat hajat di seluruh negara. Terima kasih tidak terhingga di atas daya usaha sokongan dan doa rakyat dalam saat-saat yang sangat besar ujiannya kepada diri saya serta keluarga.
“Saya berdiri di sini bertujuan, yang pertama sebagai hamba Allah, saya ingin membersihkan nama saya dengan pencipta, kedua, saya tidak reda rakyat Malaysia menjamah fitnah seperti yang telah berlaku secara terus. Ketiga, saya nak bersihkan nama keluarga dan arwah bonda serta bapa saya,” katanya selepas menunaikan solat sunat hajat.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, nasib Najib mengenai perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta adalah 50-50 selepas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memaklumkan Mahkhamah Persekutuan akan putus kekal sabitan atau tangguh rayuan akhir pada selasa ini.
Sementara itu, Najib turut membuat pengakuan sumpah laknat mendakwa diri beliau dianiaya oleh musuh-musuh politiknya dengan penyebaran pelbagai fitnah dan tidak terlibat dengan sebarang keputusan untuk menyeleweng dana daripada syarikat tersebut.
“Dengan kesedaran yang baik, keinsafan dan kebergantungan secara mutlak kepada mu ya Allah serta di dalam rumah-Mu yang mulia ini.
“Aku, Mohd. Najib Abdul Razak. Setelah berusaha dan berjuang dengan sebaik mungkin untuk mendapatkan keadilan ke atas diriku di dunia ini.
“Sejak aku diberikan amanah memimpin negara Malaysia ini dan sehingga ke saat ini. Pertama, aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana sebanyak RM42 juta itu datangnya daripada syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung.
“Kedua, aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkum apa-apa dana SRC bagi tujuan kegunaan peribadi ataupun keluargaku.
“Ketiga, aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan pun.
“Keempat, aku tidak pernah terlibat dalam mesyuarat untuk meluluskan jaminan-jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sebanyak RM4 bilion kepada syarikat SRC untuk tujuan mendapatkan habuan haram sebanyak RM42 juta tersebut.
“Sekiranya aku berdusta, di atas sumpah ku ini ya Allah, maka halallah laknat-Mu ke atas diriku. Sebaliknya, jika semua ini adalah fitnah yang telah dirancang oleh musuh-musuh politikku. Maka ya Allah, aku memohon sesungguhnya kepada-Mu agar engkau laknatilah mereka dan orang-orang yang bersubahat serta bersekongkol dengan mereka,” lafaznya.
Turut hadir semasa solat sunat hajat itu adalah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak lelakinya, Nor Ashman.
Antara pemimpin lain yang hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubugan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. – UTUSAN










