KOTA KINABALU: Selepas genap dua bulan bergelar Ahli Parlimen Bebas, Datuk Mohamaddin Ketapi sekali lagi mengumumkan menyertai sebuah parti iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Itu merupakan parti ketiga yang disertainya dalam tempoh kira-kira 10 bulan sejak beliau mengumumkan keluar daripada Parti Warisan (Warisan) pada Oktober tahun lalu.
Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu mengumumkan keluar daripada Warisan pada 30 Okteber 2021 dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 November tahun yang sama.
Beliau kemudian mengumumkan keluar daripada Bersatu pada 28 Jun lalu bagi menjadi Ahli Parlimen Bebas buat kali kedua sebelum memutuskan menyertai PBM.
Ahli Parlimen Lahad Datu itu berkata, keputusan itu diambil selepas menilai dan meneliti perlembagaan parti yang memperjuangkan hak-hak dan autonomi wilayah Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mohamaddin berkata, semangat kerjasama antara Sabah dan Sarawak mesti diwujudkan demi kebaikan dan langkah perkukuhkan kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Katanya, dijangka kira-kira 10,000 orang akan bersama-sama dengannya menyertai PBM.
“Seperti diumumkan, saya selaku Ketua Perhubungan PBM, kita akan mengadakan jelajah seluruh Sabah bagi merekrut lebih ramai ahli menyertai parti ini.
“Kita akan sebarkan borang kemasukan ahli dan bila semuanya sudah teratur dan sedia diterima masuk, kita akan mengadakan penerimaan kemasukan ahli secara besar-besaran seperti di Lahad Datu,” katanya semasa sidang media hari ini.
Mohamaddin berkata, apabila sudah menyertai PBM maka, calon yang bertanding juga akan menggunakan logo PBM.
Mengulas lanjut katanya, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau serahkan keputusan kepada kepimpinan PBM sama ada akan mencalonkan beliau mahupun tidak.
“Untuk bertanding atau tidak, saya tidak boleh cakap sebab bergantung kepada keadaan. Kalau keadaan kesihatan saya tidak baik, mungkin tidak bertanding. Kita akan lihat apabila tiba masanya,” katanya.
Terdahulu Larry mengumumkan Mohamaddin akan mengetuai PBM di Sabah selaku Ketua Perhubungan PBM Sabah.
Setakat ini, PBM Sabah mempunyai tujuh bahagian iaitu Kudat, Papar, Keningau, Tenom, Batu Sapi, Semporna dan Lahad Datu.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Presiden PBM, Datuk Larry Sng dan Presien Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob.- UTUSAN










