KOTA BHARU : Sebanyak 40 set sofa mewah terpakai yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000 disumbangkan oleh Hotel The Grand Renai untuk kegunaan sekolah-sekolah tahfiz di bawah kendalian Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang terdapat di seluruh negeri ini.
Sumbangan itu disampaikan Pengurus Besar Hotel The Grand Renai, Amer Ahmad kepada Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail dalam majlis ringkas di sini hari ini.
Amer berkata, sumbangan tersebut adalah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak hotel untuk dimanfaatkan oleh pelajar dan pendidik di sekolah-sekolah YIK.
“Ini adalah kolaborasi kali kedua pihak hotel dan YIK di mana tahun lalu kita turut menyumbangkan sofa terpakai kepada sekolah-sekolah di bawah kendalian YIK.
“Ini adalah untuk mengelak pembaziran kerana kesemua sofa terbabit masih dalam keadaan baik. Sebelum ini sofa-sofa ini digunakan sebagai dekorasi di bilik Hotel The Grand Renai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Engku Rajhan berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada pihak hotel kerana sekali lagi memilih untuk menyumbangkan sofa terpakai.
Katanya, YIK amat berbesar hati menerima sumbangan tersebut kerana sofa terpakai masih berada keadaan baik dan boleh diletakkan di ruangan pejabat serta di sekolah-sekolah.
“Selain itu, kita juga berharap agar inisiatif sebegini wajar dicontohi oleh organisasi-organisasi yang lain,” ujarnya. – UTUSAN










