JOHOR BAHRU: Ketika ini adalah waktu paling sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana populariti Barisan Nasional (BN) sedang melonjak dan semangat keseluruhan jentera parti cukup membara.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, laporan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan yang juga Pengarah Pilihan Raya BN turut menunjukkan kesemua jentera UMNO/BN di semua negeri sudah bersedia menghadapi PRU15.
Beliau berkata, taklimat Khas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung Sabtu lalu juga membawa isyarat jelas bahawa akar umbi UMNO memang sudah bersedia dan hanya menunggu paluan gendang perang PRU15.
Katanya, laungan ‘bubar Parlimen’ kerap bergema dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan suara majoriti lebih 3,000 pemimpin dan ahli pelbagai peringkat yang hadir.
“Semangat dan keyakinan UMNO/BN itulah yang membuatkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) semakin kecut perut. Mereka cukup takut kalau Parlimen dibubarkan dan PRU15 diadakan dalam masa terdekat sebab tahu mereka tak kuat serta lemah.
“PH berkali-kali guna alasan rakyat tengah susah dan negara belum stabil untuk PRU15, padahal hakikatnya mereka yang tengah susah hati sebab gabungan itu belum pulih daripada reputasi sebagai kerajaan gagal 22 bulan.
“Mereka tahu bila PRU15 diadakan sekarang, rakyat akan menghukum mereka dan PH akan kekal sebagai parti pembangkang seperti sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, pemimpin PN dan PH sudah kehabisan modal politik untuk menyerang UMNO/BN setelah isu berkaitan Datuk Seri Najib Razak sudah basi.
Mereka juga tidak boleh mengaitkan isu kapal tempur pesisir (LCS) kerana tidak ada pemimpin UMNO yang terlibat dalam isu itu.
“Paling mengejutkan apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bersih kelmarin pun turun bersuara dan tak mahu PRU15 disegerakan. Saya sendiri terkejut sebab biasanya Bersih akan minta PRU dibuat segera jika keadaan politik dan ekonomi negara tak stabil, namun kali ini mereka membantah pula.
“Kononnya desakan UMNO mahu adakan PRU15 lebih awal sebab mahu selamatkan kluster mahkamah. Bagi saya, alasan itu tak boleh pakai langsung kerana dalam keadaan sekarang pun Penasihat UMNO (Najib) tetap dihukum penjara walaupun kerajaan dipimpin oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Itu membuktikan UMNO tak mempengaruhi institusi kehakiman sebagaimana yang pernah dibuat oleh kerajaan PH sebelum ini yang membuat dakwaan terpilih terhadap pemimpin-pemimpin UMNO,” katanya. – UTUSAN