‘Segera pulih, hijaukan Tasik Chini’

‘Segera pulih, hijaukan Tasik Chini’

Tasik Chini
UNESCO mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan ne­geri tidak menyambung tempoh pajakan lombong di Tasik Chini.

Titah baginda, Tasik Chini juga perlu dipulih dan dihijaukan semula supaya kegemila­ngan serta peranan asal tasik itu yang memanfaatkan penduduk sekitar dan fungsi semula jadinya sebagai biosfera kekal lestari.

“Saya juga menyokong langkah moratorium yang diambil kerajaan negeri di kawasan tersebut.

“Usaha memulihkan Tasik Chini perlu dimainkan oleh semua pihak. Bukan sahaja kerajaan negeri, malah pelombong dan pelesen sedia ada juga perlu memberikan komitmen dan turut sama dalam menjayakan usaha ini,” titah baginda sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar, di sini semalam.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal bertitah, pemuliharaan alam sekitar, flora, dan fauna, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Baginda bertitah, sudah wujud pelbagai akta dan enakmen yang spesifik tentang perlindungan alam sekitar di negara serta di negeri ini namun, tanpa penguat kuasaan yang tegas, segala usaha akan gagal.

“Saya tegaskan di sini bahawa saya tidak mahu lagi melihat kejadian seperti memasuki hutan tanpa kebenaran, pencurian hasil hutan seperti pokok dan balak, aktiviti pemburuan haram, menangkap ikan terlarang dengan bom, racun atau renjatan elektrik.

“Rondaan dan pemantauan perlu dijalankan dengan lebih kerap dan teliti. Tiada istilah terlepas pandang terhadap penjenayah alam sekitar selepas ini,” titah baginda.

Sementara itu, seramai 99 penerima dianugerahkan darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena istiadat tersebut dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Amran Mohamed Zin antara sembilan penerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Bagi anugerah darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’ Indera pula, seramai empat penerima anugerah berkenaan termasuk Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), Puan Seri Maslina Ismail.

Seramai 13 orang penerima pula menerima anugerah Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk.

Sultan Pahang turut berkenan mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran Datuk kepada 24 penerima termasuk kepada penyanyi, Luciana Francissca Lucian G. Peter dan Siti Fairus Sheikh Mohamed.

Selain itu, ketua Juratih Bola Sepak Sri Pahang, Dollah Salleh; Jurulatih Bola Sepak Penang FC, Zainal Abidin Hassan dan Ahmad Yunus Mohd. Alif; dan jurulatih bola sepak Sri Pahang Football Club, Ahmad Yusoff turut menerima pingat sama.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya