PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2022 di sini.
Ia sebagai simbolik pembukaan penganjuran Festival Bunga dan Taman yang meraikan ulang tahun ke-12 diadakan sepanjang tujuh hari bermula hari ini hingga 4 September.
Ketika titah ucapan, Tunku Azizah menzahirkan rasa kecintaan kepada bunga-bungaan dan aktiviti menanam bunga dan sayur-sayuran diamalkan di Istana Negara terutama ketika tempoh pandemik Covid-19.
“Saya sentiasa sukakan bunga. Saya tanam sayur juga semasa Covid-19. Sepanjang dua tahun saya ‘dikunci’ di Istana Negara, saya bersama-sama semua warga Istana Negara kami sempat berkebun bertanam sayur di belakang istana.
“Sekarang masih ada, cuma kerana kesibukan, kuranglah pergi ke kebun tapi berhasillah sempat merasalah juga timun, kacang botol, kacang panjang, kangkung bayam, bayam brazil, lada, jagung dan macam-macam jenis sayur.
“Kami tanam di belakang. Pagi-pagi lepas subuh sudah pergi ke kebun nak tengok kebun. Hari ini saya merayu warga Istana Negara kita kena balik ke kebun mungkin kali ini tanam pokok bunga pula,” titah baginda.
Raja Permaisuri Agong berkenaan meluangkan masa kira-kira sejam edisi terkini Festival Bunga dan Taman itu menghimpunkan lebih-kurang 10,000 pokok orkid yang dipamerkan dengan lebih 400,000 pokok daripada pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan.
Bertemakan ‘ Floria Hebat’ dengan orkid sebagai bunga tema, keindahan seumpama suatu hamparan bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam suasana lanskap dan taman muncul kembali setelah lebih dua tahun ditangguhkan ekoran pandemik.
Anjung Floria di Presint 4 ditransformasikan menjadi hamparan bunga terbesar, Floria Diraja
Putrajaya turut memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjaga kesihatan rakyat semasa menghadapi pandemik menerusi pameran Masterpiece: Tribute to Frontliners.
Antara komponen baharu dijangka menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong asing pada tahun ini adalah Taman Keluarga Malaysia, Taman Koboi dan Sukulen, Taman Instagrammable, Hiasan Dinding Orkid, Terowong Oncidium, Clock Meadow, Taman ‘Glow in the Dark’ serta Taman Bonsai dan Suiseki.
Berdasarkan populariti program ‘LAMPU’ anjuran Perbadanan Putrajaya, beberapa laluan dan tapak di Anjung Floria akan dihujani limpahan cahaya berwarna-warni selama tujuh hari menerusi ‘Gemerlapan Floria’ yang akan membawa satu pengalaman baharu buat pengunjung.
Selain mempamerkan inovasi teknologi kesenian pencahayaan kreatif pada flora dan fauna, Floria juga menjadi platform kepada pengunjung menikmati keindahan persekitaran festival pada waktu malam.
Ia dilimpahi pancaran dan kesan cahaya lampu khas di setiap laluan utama dan kawasan utama sekitar tapak festival seperti Floral SkyWalk (Floria Gemilang), Terowong Oncidium dan Laluan Dendrobium. – UTUSAN










