SERDANG: Perikatan Nasional (PN) membayangkan tidak bersama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, hal ini keutamaan pihaknya untuk menjatuhkan parti itu setelah melihat pelbagai kerosakan dibuat mereka khususnya membabitkan soal integriti.
Bagaimanapun, katanya, pertembungan satu lawan satu bergantung perkembangan dan situasi akan datang setelah mengambil kira pelbagai faktor.
Jelas Muhyiddin, politik adalah satu percaturan kemungkinan dan perkara jangkaan boleh berlaku pada masa mendatang.
“Saya susah nak kata (bergabung dengan BN), banyak ‘kalau’ dan banyak keadaan tidak menentu, situasi endemik serta pergolakan berlaku dalam UMNO.
“Namun kita akan lihat dan situasi serta memperhalusi dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Konvensyen PN di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan pertembungan satu lawan satu merupakan ramuan terbaik untuk kemenangan parti gabungan itu dalam PRU15.
Beliau bimbang jika perlawanan tiga penjuru akan mengulangi episod kekalahan dua pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Muhyiddin menjelaskan, beliau sedar ia bukan satu perkara mudah tetapi jika itulah formula untuk mengalahkan BN, ada cara yang boleh dikompromi bukan daripada prinsip tetapi amalan.
“Ini perlu kita perhalusi tetapi tidak mungkin berlaku hanya jika satu pihak bersedia atau pihak lain tidak bersedia. Ini kita akan tengok apa bakal berlaku dalam tempoh mendatang,” katanya.
Ketika ditanya sama ada PN mungkin bertembung lebih tiga penjuru, Muhyiddin berkata, PN bertanding atas kekuatan tersendiri setelah melihat kesatuan dan faktor lain mendorong kemenangan mereka.
“Seperti PRN Melaka dan Johor, kita dapati peratusan sokongan kepada PN sudah meningkat. Malah berdasarkan kajian dilakukan satu badan baru-baru ini mendapati pengundi baharu mahu keluar mengundi dan ini bakal meningkatkan peratusan keluar mengundi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau sendiri pernah menemui beberapa pemimpin politik termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sebaliknya beliau tidak pasti pemimpin itu mempunyai pemikiran sama (elak pertembungan).
Sementara itu, Muhyiddin berkata, rundingan agihan dalam komponen PN bakal diselesaikan pada September ini dan beliau memberi jaminan untuk mengetengahkan lebih ramai calon muda dan wanita. – UTUSAN