Sasar kutip RM65j cukai tanah di Seremban

Sasar kutip RM65j cukai tanah di Seremban

MOHD. Nizam Tajul Arus (kiri) menyampaikan hadiah basikal kepada seorang pembayar cukai tanah dalam cabutan bertuah sempena Kempen Jom Bayar Cukai Tanah Daerah Seremban 2022 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM58.9 juta cukai tanah untuk tahun ini telah dikutip oleh Pejabat Tanah dan Daerah Seremban bermula Januari lalu hingga semalam.

Pegawai Daerah Seremban, Mohd. Nizam Tajul Arus berkata, jumlah itu adalah kira-kira 90.8 peratus berbanding sasaran sebanyak RM65 juta.  

Beliau berkata, tahun lalu, sebanyak RM60.7 juta cukai tanah telah dikutip oleh pihaknya.

“Berdasarkan kepada trend semasa kami yakin dapat mengutip cukai tanah lebih daripada yang disasarkan,” katanya kepada para pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah sempena Kempen Jom Bayar Cukai Tanah Daerah Seremban 2022 di sini hari ini. 

Sebanyak 50 hadiah disediakan kepada para pembayar cukai tanah yang menjelaskan bayaran sebelum 31 Mei lalu.

Sebanyak 130,170 hak milik daripada 305,716 hak milik tanah di daerah Seremban layak menyertai kempen cabutan bertuah itu tahun ini.

Pada majlis hari ini, sebanyak 16 pemilik tanah memenangi cabutan bertuah itu yang menawarkan hadiah antaranya basikal, televisyen, kepingan emas, komputer tablet, ketuhar gelombang mikro, kipas dan pengisar.

Mohd. Nizam dalam pada memberitahu, kempen menawarkan hadiah kepada para pembayar cukai tanah dianjurkan dengan tujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai tanggung jawab pemilik tanah.

Jelasnya, kempen seperti itu mampu meningkatkan motivasi kepada masyarakat untuk menjelaskan cukai tanah dalam tempoh yang ditetapkan serta mengelak daripada menanggung tunggakan.

Katanya, hasil daripada kutipan cukai itu akan dikembalikan kepada masyarakat melalui perkhidmatan yang berkesan dan kemudahan lebih baik.

“Walaupun nilai hadiah yang ditawarkan mungkin dianggap kecil namun ia adalah satu bentuk penghargaan kepada para pembayar cukai tanah.

“Tawaran hadiah ini adalah satu daripada beberapa inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi menggalakkan pemilik tanah membayar cukai,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya