CYBERJAYA: Jabatan Imigresen menahan 10 orang wanita warga Afrika dalam serbuan ke atas sebuah kondominium mewah, di sini petang semalam.
Dalam serbuan sepasukan 20 Pegawai Imigresen daripada Jabatan Imigresen Putrajaya itu, tujuh wanita warga Tanzania dan tiga orang wanita warga Uganda berusia antara 23 hingga 37 tahun berjaya ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil tindakan pantas pihaknya yang mengatur operasi susulan aduan awam.
Beliau berkata, serbuan turut merampas sembilan pasport, 13 buah telefon bimbit, satu kad akses, satu kad pelajar, empat set kondom dan sembilan buah buku nota yang merekodkan bukti langganan seks.
“Siasatan awal mendapati sembilan orang wanita ini masuk ke Malaysia secara sah sebagai pelancong asing dan seorang wanita masuk sebagai pelajar antarabangsa di sebuah Pusat Bahasa di Kuala Lumpur. Daripada kesemua tahanan ini, dua wanita masing-masing warganegara Tanzania dan Uganda dikenal pasti sebagai ‘Mummy’ iaitu orang tengah dalam aktiviti pelacuran ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, siasatan juga mendapati, sindiket menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelajar antarabangsa dan lelaki benua Afrika terutama dari Nigeria dengan kadar bayaran RM200 hingga RM500 sekali langganan.
Menurutnya, kesemua tahanan di bawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kami tidak menolak adanya sindiket pelacuran warganegara asing terutama di kalangan pelancong dan pelajar antarabangsa dari Benua Afrika. Susulan daripada operasi ini, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan dalang sebenar di sebalik aktiviti pelacuran serta rangkaian sindiket ini.
“Orang ramai dipohon untuk terus bekerjasama dan menyalurkan aduan berkaitan aktiviti warga asing yang tidak bermoral dan melanggar undang-undang negara supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan,” katanya. – UTUSAN