Robiah gigih berniaga cari kos rawatan tiga kanser

Robiah gigih berniaga cari kos rawatan tiga kanser

ROBIAH Rosni menunjukkan pes sambal yang dihasilkannya untuk dijual bagi menampung kos rawatan kansernya ketika ditemui di kediamannya di Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Meskipun disahkan menghidap tiga jenis kanser sejak 2016, ia tidak dijadikan alasan bagi seorang wanita di sini untuk meraih simpati orang ramai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Robiah Rosni, 41, berkata, selagi nyawa dikandung badan, dia akan tetap berusaha mencari pendapatan bagi membiayai kos rawatan penyakitnya itu.

Katanya, ia termasuk meng­usahakan perniagaan kecil-kecilan seperti menghasilkan pes sambal, tepung serba guna, kuih sejuk beku serta menerima pelbagai tempahan masakan untuk sebarang acara majlis.

“Tiga jenis kanser itu bukanlah datang serentak, sebaliknya bermula pada 2016 yang mana saya disahkan doktor menghidap kanser pangkal rahim tahap empat.

“Kemudian kanser merebak di bahagian perut dikenali Gastric Advance empat tahun kemudiannya dan paling terbaharu disahkan menghidap kanser Chondrosarcoma awal tahun ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bertam Perdana di sini, baru-baru ini.

Menurut Robiah, dia reda dengan ketentuan Allah SWT malah memanjatkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya masih lagi bernafas biarpun doktor pernah mengesahkan hayatnya tidak lama ekoran penyakit itu.

Dia berkata, kehidupannya sekeluarga bertambah sukar apabila suaminya Azhar Ahmad, 43, dibuang kerja ekoran pandemik Covid-19 sekitar 2020.

“Sejak suami diberhentikan kerja, sumber kewangan semakin menyusut sehingga memaksa saya menghentikan pengambilan ubat kanser bagi memperlahankan sel kanser seperti yang disyorkan doktor kerana ubat tersebut agak mahal,” kata ibu kepada tiga anak berusia antara 16 hingga 19 tahun itu.

Robiah menambah, di sebalik ujian yang dihadapinya sekeluarga, dia bersyukur kerana anak-anaknya ringan tulang membantu menambah pendapatan dengan menjual produk makanan yang dihasilkan di sekolah dan masjid sekitar.

“Anak-anak banyak meringankan beban yang saya alami. Malah, suami pula baru sahaja dapat kerja kilang di Mak Mandin, Butterworth baru-baru ini.

“Malah, kariah masjid di kawasan perumahan serta komuniti masjid berhampiran banyak memberi sokongan kepada saya dan keluarga dengan membuat tempahan makanan untuk mengadakan aktiviti tertentu.

“Selain itu, pihak Zakat Pulau Pinang juga ada memberi bantuan kos pembedahan terdahulu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membantu dari segi kelengkapan seperti katil serta barangan keperluan asas yang lain dan juga infaq orang ramai,” katanya.

Robiah menambah, dua anaknya, Nur Atiera, 19, dan Mohd. Hafiz, 18, turut bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan harian dan keperluan pendidikan mereka.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional Berhad (BSN) Robiah (0799-5411-0015-1239) atau menghubunginya di talian 018-6303413. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN