Reka Bentuk Kitaran platform jana kekayaan, pulihara ekosistem

Reka Bentuk Kitaran platform jana kekayaan, pulihara ekosistem

TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Senator Datuk Lim Ban Hong (tengah) bergambar bersama pemenang dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk ‘Waste to Wealth Innovation’ 2021/2022 di Dewan Perdana MITI, Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seiring dengan fokus kerajaan bagi mengarusperdanakan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam pembangunan sektor pembuatan, Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) menganjurkan Simposium Pemerkasaan Industri Tempatan melalui Reka Bentuk Kitaran (Circular Design) yang berlangsung kelmarin.

Program itu bertujuan sebagai perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam kalangan pakar dan peserta mengenai konsep Reka Bentuk Kitaran di negara ini, di samping menggalakkan serta mempromosi reka bentuk sebagai salah satu kaedah pemuliharaan alam sekitar dan penjanaan kekayaan.

Hal itu secara tidak langsung memberi idea kepada pemain industri dan peserta bagi melahirkan produk inovatif berasaskan Reka Bentuk Kitaran dan memberi pendedahan kepada industri berkaitan akta, piawaian dan dana ditawarkan kerajaan dalam bidang Reka Bentuk Kitaran.

Pada program itu juga berlangsungnya Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Waste to Wealth Innovation 2021/2022 serta pelancaran tema pertandingan reka bentuk bagi tahun 2023 di Dewan Perdana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini kelmarin.

Pengarah MRM, Sulaiman Arshad berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memberi galakan dan mempromosi konsep reka bentuk sebagai pemuliharaan alam sekitar yang dilihat sejajar dengan fokus utama MITI iaitu perdagangan dan pembangunan mampan, daya tahan rantaian bekalan dan pembangunan modal insan.

“Program ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan industri akan keperluan menjaga alam sekitar daripada pencemaran oleh sisa pepejal yang tidak diurus dengan baik. Tanpa kawalan yang sempurna akan memberi kesan negatif kepada ekosistem.

“Oleh itu, budaya dan kreativiti perlu ditingkatkan dalam kalangan komuniti sekali gus memberi manfaat dan menjadi punca pendapatan sampingan untuk keluarga.

“Melalui simposium ini, ia diyakini menjadi saluran yang mampu menghasilkan idea-idea kreatif dan input berguna kepada pemain-pemain industri dan peserta yang menghasilkan produk yang mempunyai ciri-ciri inovatif berasaskan reka bentuk kitaran,” katanya semasa memberikan ucapan.

Hadir sama bagi merasmikan simposium itu ialah Timbalan Menteri MITI, Senator Datuk Lim Ban Hong dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Indera Dr. Ahmad Sabirin Arshad.

Untuk rekod, reka bentuk kitaran adalah berkaitan konsep penciptaan produk dan perkhidmatan yang tidak lagi berakhir di tapak pelupusan selepas produk tersebut tamat tempoh, tetapi, ia ‘diproses’ semula menjadi produk baharu.

Pelaksanaan konsep tersebut terbukti berkesan di Eropah bagi mengurangkan sisa buangan dan memberi nilai tambah kepada ekosistem.

Pada simposium itu, terdapat enam syarikat menerima geran daripada MRM bagi pembangunan produk berasaskan reka bentuk kitaran iaitu Hatta Dolmat Design dan Pro-Landscape Structure Sdn. Bhd. (Kategori Perabot); Fortesvo Sdn. Bhd. dan Genius Wisdom Sdn. Bhd. (Kategori Elektrikal dan Elektronik) dan HZ Green Pulp Sdn. Bhd. dan Noraini Cookies Sdn. Bhd. (Kategori Pembungkusan).

MRM merupakan salah satu agensi di bawah MITI ditubuhkan pada 1993 dengan matlamat membuka peluang dan masa depan industri reka bentuk dan inovasi di Malaysia.

Sementara itu, terdapat dua kategori dipertandingkan dalam Waste to Wealth Innovation 2021/2022 iaitu Kategori Profesional dan Kategori Komuniti. Peserta pertandingan itu, Mohd. Norhan Dulkahar (produk Eggy Light) menang Kategori Profesional dan menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan. Seorang lagi pemenang bagi Kategori Komuniti ialah Zariths Sufea Zainal (produk Octo Aid) dan menerima wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Seramai lima peserta Kategori Profesional menerima saguhati berupa wang tunai RM700, trofi dan sijil penyertaan iaitu Mohd. Taufik Talib, Nurdania Alya Syamsul Rezal, Mohd. Zulfahmy Rapa, Amirul Irfan Amdani dan Isramimi Ishak.

Lima lagi peserta Kategori Komuniti turut menerima saguhati RM500, trofi dan sijil penyertaan iaitu Nur Zhafirah Mohd. Zairi, Nabil Mubaraq Amir Hamzah, Muhammad Ikhwan Halil, Muhammad Shahizat Fazilah dan Hanizam Hussin dan Khairul Masseat.

Pelancaran pertandingan Reka Bentuk Kitaran 2023 bertemakan Aliran Fesyen Lestari atau ‘Sustainability Thru Refashion’ anjuran MRM dan rakan strategik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan

Pembersihan Awam (SWCorp) dijangka dilancarkan di Kangar, Perlis sempena sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2022 akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya