Najib berisiko kendali rayuan sendiri

Najib berisiko kendali rayuan sendiri

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berisiko mengendalikan sendiri rayuan akhirnya sekiranya peguam-peguam belanya menarik diri dan Mahkamah Persekutuan masih ingin meneruskan pendengaran tersebut.

Bagaimanapun, menurut peguam, Datuk Geethan Ram Vincent ketika dihubungi Utusan Malaysia, sekiranya benar, peguam-peguam Najib menarik diri pada 15 Ogos ini, Mahkamah biasanya akan memberikan masa yang mencukupi untuk Ahli Parlimen Pekan itu melantik peguam baharu.

“Kita perlu ingat bahawa rayuan ini adalah rayuan akhir Najib dan Mahkamah pun tahu Najib tidak mampu mengendalikan kesnya sendiri. Adalah adil untuk mahkamah memberikan Najib peluang untuk melantik peguam yang sanggup dan berupaya untuk mengendalikan kes itu,”katanya.

Menjawab pertanyaan sama ada Mahkamah boleh melantik peguam bagi pihak Najib, Geethan memberitahu, ia hanya berlaku dalam kes membabitkan hukuman mati.

Peguam itu berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa peguam-peguam Najib iaitu Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam akan menarik diri daripada mewakili bekas Presiden UMNO itu sekiranya Mahkamah Persekutuan akan tetap meneruskan dengan pendengaran rayuan akhir itu, Isnin depan.

Pada 29 Julai lalu, Hisyam telah memohon agar rayuan akhir itu ditangguhkan kerana beliau baharu sahaja dilantik dan memerlukan masa yang mencukupi untuk membuat persediaan kerana rayuan itu membabitkan isu yang berat. Permohonan itu bagaimanapun ditolak.

Pada ketika itu, Hisyam memaklumkan Timbalan Pendaftar Kanan Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zahara Wan Yussof dan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Siti Hajar Mustaffa, beliau akan tetap memohon penangguhan rayuan akhir itu pada 15 Ogos ini.

Pada 15 Ogos ini, prosiding akan dimulakan dengan pendengaran permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu membabitkan hakim bicara, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Sekiranya permohonan itu gagal, prosiding akan diteruskan dengan rayuan akhir itu.

Pada 25 Julai lalu, Najib melalui sepucuk surat telah menamatkan perkhidmatan firma guaman, Tetuan Shafee & Co, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan seluruh pasukan pembelaannya.

Najib kemudian melantik firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan Tetuan Shafee & Co. manakala Hisyam dilantik bagi menggantikan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Hisyam yang dilantik sebagai peguam bela utama Najib juga peguam bela kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kes rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos iaitu pada 15 hingga 25 Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya