Ramai lagi nama dalam buku lejar UKSB akan dipanggil

Ramai lagi nama dalam buku lejar UKSB akan dipanggil SPRM

SPRM menahan tiga individu termasuk seorang pensyarah wanita untuk disiasat berkaitan tuntutan palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Ramai lagi nama individu yang disenaraikan dalam buku lejar Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan sedang berjalan namun enggan mendedahkan nama individu yang sudah dirakam keterangan oleh SPRM setakat ini.

“Mengenai siasatan buku lejar itu dah diumumkan dalam Parlimen pun bahawa SPRM akan memanggil semua nama terbabit.

“Buat masa ini, SPRM tidak boleh dedahkan kerana di Parlimen pun kita mengatakan kes ini masih dalam siasatan. Saya beri jaminan yang semua akan dipanggil,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bahawa SPRM tidak menyiasat bekas pemimpin UMNO atas dakwaan penyelewengan dana.

Ahli Parlimen Bagan itu dilaporkan berkata, ia memperlihat seolah-olah SPRM melakukan amalan dua darjat dalam menyiasat kesalahan berkenaan.

Ini kerana katanya, sebelum ini SPRM menyiasat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan menerima dana rasuah, namun tidak mengambil tindakan sama terhadap bekas pemimpin UMNO lain yang ‘berpaling tadah’ kepada Bersatu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, tindakan segelintir individu yang menggesa siasatan tertentu dijalankan seolah-olah menggambarkan SPRM tidak menjalankan tugas.

“Perkara begini (siasatan) apabila selesai prosesnya kita kena kemukakan kepada Jabatan Peguam Negara. Tapi proses itu belum sampai lagi.

“Apabila sampai masanya kelak akan ada pengumumannya,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan, SPRM telah mengambil keterangan empat individu ahli politik yang namanya disebut di dalam buku lejar UKSB berkaitan kes rasuah Ahmad Zahid.

Azam memberitahu Utusan Malaysia, keterangan itu diambil bagi menentukan sama ada pemberian atau penerimaan wang adalah berunsur rasuah ataupun tidak.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan yang tidak dijawab dalam Dewan Rakyat pada minggu lalu memaklumkan, SPRM akan memanggil nama-nama disebut dalam buku lejar UKSB yang didedahkan bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun sewaktu pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Siasatan berkenaan dijalankan susulan SPRM telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah baru-baru ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kerajaan menyatakan mengapakah SPRM tidak menyiasat penama-penama yang dikaitkan menerima wang daripada syarikat UKSB.

Dalam pada itu, saksi pendakwaan Ke-17, David Tan Siong Sun menamatkan kesaksiannya dengan mendedahkan lebih ramai lagi individu berprofil tinggi termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing dikatakan menerima RM2.6 juta dan RM1.3 juta. 

Malah, bekas Pengurus Pentadbiran UKSB yang diperiksa di mahkamah selama tiga hari pada peringkat pendakwaan itu turut mendedahkan nama-nama lain seperti bekas pemimpin MCA, Tan Sri Chan Kong Choy dan Tan Sri Ong Ka Chuan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Selain itu, tiga menteri Kabinet iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta dua bekas Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Ama turut nama yang disebut.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu nama-nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya