SHAH ALAM: Orang ramai khususnya rakyat Selangor hadir di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Jenazah Abdul Khalid tiba di sini kira-kira pukul 11.10 pagi tadi selepas disempurnakan pengurusan dan disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Turut kelihatan memberi penghormatan terakhir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan barisan exco kerajaan negeri seperti Datuk Teng Chang Khim, Hee Loy Sian, Rodziah Ismail dan Mohd. Khairuddin Othman.
Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut hadir memberikan penghormatan terakhir seperti Mohd. Najwan Halimi (Kota Anggerik), Syamsul Firdaus Mohd. Supri (Taman Medan) dan Elizabeth Wong (Bukit Lanjan) dan Azmizam Zaman Huri (Pelabuhan Klang).
Selain itu, beberapa anggota Kabinet dilihat turut hadir seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ribuan rakyat Selangor memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah Allahyarham Abdul Khalid tiba. Kemudian jenazah Allahyarham dipindahkan dari dewan solat tingkat bawah ke Dewan Solat Utama untuk membenarkan pengunjung menunaikan solat jenazah.
Jenazah bertolak dari Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara kira-kira pukul 10.20 pagi tadi. Allahyarham Abdul Khalid akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pada pukul 2 petang ini. – UTUSAN