Putus kaki ketika buru komunis

Putus kaki ketika buru komunis

SULAIMAN Maarof (kanan) dan Hamid Katik ketika ditemui Utusan Malaysia di Pedas, Rembau, Negeri Sembilan kelmarin. – FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Walaupun kehilangan sebelah kaki semasa operasi me­lawan komunis pada peng­hujung tahun 1970-an, insiden berkenaan tidak sedikit pun me­nimbulkan rasa kesal buat dua orang veteran tentera negara.

Mereka iaitu Sulaiman Maa­rof, 70, dan Hamid Katik, 66, malahan berkata, semangat cintakan negara dan mahu mempertahankan tanah air masih tebal di dalam jiwa masing-ma­sing sehingga ke hari ini.

Ketika ditemui Utusan Malaysia dalam sebuah majlis di Pedas di sini kelmarin, Sulaiman berkata, masih segar dalam i­ngatannya kejadian dia terpijak jerangkap samar semasa satu operasi di Tasik Banding, Gerik, Perak pada tahun 1977.

“Semasa itu kami sedang bertempur dengan Komunis, saya langsung tidak sedar sudah terpijak jerangkap samar, memang tidak perasan kaki kanan saya sudah putus.

“Apabila nampak darah membuak-buak barulah saya sedar kaki saya dah tiada. Sehingga kini, tidak pernah terdetik rasa kesal hilang kaki ini demi negara.

“Orang dulu-dulu memang sayang tanah air, sanggup me­ngorbankan nyawa daripada negara ini dijajah,” katanya yang bersara dengan jawatan terakhir sebagai koperal.

Sementara itu, Hamid berkata, dia pula kehilangan kaki kiri­nya semasa menyertai operasi di Gerik, Perak pada tahun 1978.

Mengimbas kembali, ketika kejadian dia dan pasukannya te­lah berjaya sampai di kem rahsia komunis, namun musuh sudah berjaya melarikan diri.

“Ketika itu, saya terdengar bunyi tembakan dan tidak me­nyangka kaki kanan saya terkena serpihan peluru. Kaki kiri saya pula putus terkena jerangkap samar,” katanya.

“Walaupun kejadian itu menyebabkan saya terpaksa menggunakan kaki palsu sehingga ke hari ini, saya tetap bangga dapat menjadi sebahagian daripada wira negara yang berkhidmat selama 22 tahun dalam pasukan tentera,” katanya.

Hamid dalam pada itu menasihatkan kepada semua anggota tentera baharu supaya sentiasa menguatkan semangat dan diri masing-masing dalam menjalani cabaran perkhidmatan itu ketika ini.

“Memang kalau kita sudah jadi tentera, sambut puasa dan hari raya dalam hutan tu sudah biasa. Memang hati dan mental kena kuat.

“Saya selalu nasihatkan anggota-anggota baharu bergelar tentera supaya mereja jangan berhenti sebelum masa­nya dan teruskan lah berkhidmat demi negara tercinta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN