Pusat Kebudayaan PRBSS martabat budaya etnik Bajau Sama

Pusat Kebudayaan PRBSS martabat budaya etnik Bajau Sama

HAJIJI Noor (tiga kanan) semasa simbolik perasmian Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) di Tuaran semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) bukan hanya berperanan sebagai tarikan baharu pelancongan malah, mampu memartabatkan budaya etnik Bajau Sama di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan pusat kebudayaan itu juga akan menyumbang kepada kemajuan sosiobudaya etnik Bajau Sama.

Beliau berkata, pusat kebudayaan yang dibangunkan di kawasan seluas 3.5 ekar di Kampung Lok Batik, Tuaran itu akan menjadi satu lagi mercu tanda etnik yang ada di negeri ini.

“Selepas 10 tahun penubuhan PRBSS, akhirnya usaha gigih bagi menubuhkan Pusat Kebudayaan PRBSS mampu dijayakan.

“Matlamat penubuhan persatuan dan pusat kebudayaan ini dilihat mampu memperbaiki amalan budaya etnik Bajau Sama agar selari dengan amalan etnik lain.

“Susulan kejayaan membina pusat kebudayaan ini, saya mahu PRBSS terus konsisten dalam memastikan budaya etnik Bajau Sama tidak dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya semasa merasmikan Pusat Kebudayaan PRBSS semalam.

Mengulas lanjut katanya, peruntukan RM7.5 juta bagi kos pembinaan awal pusat kebudayaan ini telah diluluskan oleh bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan majlis pecah tanah disempurnakan pada 2017.

Hajiji, yang juga Presiden PRBSS berkata, pembinaan pusat sebegitu akan membolehkan rumpun Bajau Sama dapat dipelihara sehingga ke anak cucu.

“Kita semua patut berasa bangga kerana mempunyai persatuan untuk memelihara dan mempertahankan adat, bahasa dan keaslian budaya etnik Bajau Sama agar terus berkekalan,” katanya.

Hajiji berkata, persatuan itu mengiktiraf usaha yang dibuat oleh persatuan-persatuan seperti Persatuan Bajau Sabah Bersatu (Usbo) yang dahulunya dikenali sebagai Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS).

PRBSS akan terus bekerjasama dengan organisasi kebudayaan lain agar sama-sama dapat mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

“Kita menyedari kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik di Sabah dengan lebih 30 kumpulan etnik dan hampir 200 kumpulan sub etnik. Sudah pasti tradisi dan budaya etnik ini akan menjadi daya tarikan pelancong ke negeri ini,” katanya.

Setakat ini, PRBSS mempunyai 17 cawangan iaitu di Tuaran, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kota Belud, Tenghilan, Tamparuli, Kuala Menggatal, Kota Kinabalu, Petagas, Papar, Kuala Penyu, Pulau Banggi, Beluran, Sandakan, Tawau dan Semporna.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri-menteri Kabinet Sabah, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee serta bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya