PUTRAJAYA: Kedua-dua terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 di Sepang merekodkan secara purata 251 pergerakan pesawat setiap hari.
Menurut hantaran infografik oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi laman sosialnya, secara keseluruhan, sebanyak 4,018 pergerakan pesawat dicatatkan dari 16 Julai sehingga hujung bulan lalu dengan KLIA merekodkan sejumlah 2,137 manakala klia2 pula ialah 1,881.
Sekiranya dihitung secara congak mudah, sebanyak 10 pergerakan pesawat dicatatkan setiap jam daripada angka keseluruhan tersebut yang melibatkan aliran di dua terminal berkenaan.
Bagaimanapun, waktu puncak bagi pergerakan pesawat di KLIA dan klia2 pada setiap hari setakat ini ialah dari pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari serta dari 6 petang hingga 8 malam.
Hab udara nasional itu sebenarnya boleh menampung sejumlah 108 buah pesawat untuk mendarat pada setiap jam atau purata 1.8 buah seminit melibatkan ketiga-tiga landasan serentak.
Justeru, bilangan pergerakan pesawat yang direkodkan untuk tempoh dua minggu terakhir pada bulan lalu itu boleh dianggap sebagai belum lagi mencapai tahap kapasiti amat maksimum.
KLIA mula dibuka pada 1998 lalu menjelang temasya Sukan Komanwel di Kuala Lumpur yang julung kali menjadi tuan rumah bagi menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.
Sementara jirannya, klia2 pula cuma 1.5 kilometer dan beroperasi pada 2013 bagi mengambil alih fungsi Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) yang terletak di kawasan kargo udara.
Dengan tapak keseluruhan berkeluasan 100 kilometer persegi dan kod KUL, ia dikendalikan MAHB serta menjadi hab bagi Malaysia Airlines, MASKargo, AirAsia, AirAsia X dan Batik Air.- UTUSAN