KOTA BHARU: Pembentukan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat sukar berlaku tanpa gabungan atau sokongan daripada parti-parti lain yang bertanding.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, berpandukan kepada situasi politik semasa negara, ditambah dengan kehadiran beberapa parti baharu dilihat tiada pihak yang mampu menjadi dominan.
“Jadi untuk membentuk kerajaan semua pihak perlu mendapat sokongan daripada parti lain. Oleh yang demikian semua pihak perlu terbuka jika wujudnya kerajaan campuran selepas ini (PRU15).
“Dari segi cara pembentukan, perlu menunggu selepas PRU15,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Kelantan di Padang Majlis Daerah Ketereh, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, bagaimanapun andaian berlaku atau sebaliknya hanya boleh diketahui selepas PRU15.
Katanya, buat masa ini Pas lebih selesa memberikan fokus kepada menyelesaikan masalah rakyat daripada bercakap soal politik.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li meramalkan parti politik yang bertanding pada PRU15 kali ini dilihat sukar untuk mendapat majoriti mudah sekaligus membentuk kerajaan. – UTUSAN