RAUB: Calon UMNO perlu kembali dipertaruhkan di Parlimen Raub pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam misi merampas semula kerusi panas tersebut daripada DAP.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Ir. Azinudin Abd. Rahim berkata, Parlimen ini asalnya kubu kuat UMNO tetapi sejak lima penggal pilihan raya umum lalu, ia diserahkan kepada MCA atas dasar setia kawan dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan, pemimpin kanan MCA bersilih ganti bertanding di kerusi Parlimen ini tetapi malangnya dalam PRU13 dan PRU14 lalu mereka tewas kepada calon Melayu DAP yang bukan anak tempatan.
“Dua kali MCA tewas di Parlimen Raub memberi mesej jelas kepada pucuk pimpinan UMNO bahawa pengundi mahu UMNO kembali mengambil haknya di Raub.
“Komposisi pengundi menunjukkan Melayu lebih 54 peratus berbanding Cina 38 peratus selebihnya India, Orang Asli dan lain-lain kaum,” katanya di sini semalam.
Azinudin berkata, trend dan angin perubahan semakin hebat mendesak calon UMNO bertanding di Parlimen Raub berikutan prestasi MCA yang tidak memberangsangkan dalam tiga pilihan raya umum (PRU) terakhir.
Menurutnya, hakikat sebenar desakan calon UMNO diletakkan bertanding di kerusi Parlimen ini telah bermula pada PRU14 lagi tetapi suara akar umbi tidak dipedulikan pucuk pimpinan parti UMNO dan BN.
Tambah beliau, akibat ‘tidak mendengar suara’ akar umbi calon DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji memang mudah di Parlimen Raub.
Menurutnya, Raub tidak ketandusan calon UMNO berwibawa, berpengalaman, berkelulusan tinggi dan setia kepada parti itu untuk diketengahkan pada PRU15 kelak.
Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Lembah Klau, Datuk Abdullah Abu Bakar menyokong penuh calon UMNO dipilih mewakili Parlimen Raub pada PRU15.
“Parlimen Raub perlu dikembalikan kepada UMNO kerana potensi menang lebih besar berbanding MCA. Sokongan pengundi termasuk pengundi Cina sendiri tidak memihak kepada calon MCA. Pasti BN akan tewas lagi jika tetap mencalonkan MCA pada PRU15,” katanya.
Pada PRU13, calon BN, Hoh Khai Mun dari parti MCA memperolehi 20,601 undi tewas kepada calon DAP, Mohd. Ariff Sabri Abdul Aziz (23,415 undi) dengan majoriti 2,814 undi.
Dalam pertandingan tiga penjuru pada PRU14, calon DAP, Tengku Zulpuri Shah menang majoriti 3,159 undi apabila memperoleh 20,659 undi manakala calon MCA (BN), Chew Mei Fun (17,500 undi) dan Dr. Mohamad Nilam (Pas) mendapat 7,806 undi. – UTUSAN











